Monday, November 10, 2008



Assalamualaikum WBT. Agak lama saya tidak memperbaharui blog ini. Bukan tak sudi tapi sangat sibuk kerana terdapat banyak perkara yang perlu diselesaikan. Tanggungjawab sebagai CEO Wasiyyah Shoppe memang berat sekali. Saya perlu melibatkan diri di dalam pelbagai diskusi intelektual mengenai hukum-hakam agama dan perkembangan undang-undang di dalam industri ini. Perbincangan dengan ilmuwan-ilmuwan, hakim dan pegawai pesaka kecil perlu sentiasa diadakan untuk mendapat maklumat mengenai perkembangan semasa . Contohnya mengenai isu 'Wasiat Wajibah' yang telah difatwakan baru-baru ini. Saya akan memperinci isu ini di dalam tulisan saya yang berikutnya nanti.




Hakikat betapa orang Islam hari ini ada pelbagai jenis harta seperti akaun simpanan, pelaburan saham dan hartanah di luar negara, bon, reit, saham syarikat dan sebagainya juga memberikan pelbagai cabaran kepada Wasiyyah Shoppe. Kami bukan sahaja perlu mahir dengan undang-undang tempatan, malah terpaksa juga mengetahui keperluan peruntukan undang-undang antarabangsa. Pelanggan sentiasa ingin tahu, bila mereka meninggal dunia, apa akan jadi kepada harta-harta ini ?




Saya juga perlu menghadiri pelbagai seminar, konvensyen dan kursus berkenaan ilmu pemasaran dan pengurusan terkini seperti Blue Ocean Strategy, Killer Marketing Strategy, Strategic Management, Marketing dan banyak lagi. Sebagai pemimpin organisasi, semua ilmu ini amat kritikal saya kuasai kerana ia akan menentukan hala tuju Wasiyyah Shoppe di masa hadapan. Saya bernasib baik kerana pernah bekerja dengan organisasi omputih ( American company ) dulu dan budaya membaca serta belajar telah sebati dengan jiwa saya. So, tidaklah tertekan sangat bila terpaksa duduk belajar dalam kelas selama 3 hari!




Dicelah-celah kesibukan itu, saya juga membantu francaisi-francaisi Wasiyyah Shoppe di seluruh Malaysia membuat aktiviti pemasaran mereka dengan menyampaikan ceramah kepada pelanggan. Sebagai organisasi francaisor berdaftar dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi ( MECD ) , saya perlu berusaha kuat untuk memastikan francaisi-francaisi Wasiyyah Shoppe berjaya dalam perniagaan ini dan menjadi 'JUTAWAN' . Kami mensasarkan untuk melahirkan JUTAWAN pertama di dalam industri ini menjelang Jun 2009 dari kalangan francaisi kami. Kenapa ? Tak percaya ? Tengok sajalah nanti.




Bagi memastikan Wasiyyah Shoppe akan terus kekal kompetitif, kami juga memenuhi sepenuhnya 'corporate governance' yang mesti dilalui oleh sesuatu organisasi. Ada orang cakap dengan saya kerana Wasiyyah Shoppe ini syarikat persendirian, tak payahlah bersusah-payah untuk mengikuti keperluan 'corporate governance' seperti pelaporan lengkap dan berkala kepada ahli lembaga pengarah. Di sinilah saya rasa ramai orang Melayu Islam tersilap.




Oleh kerana syarikat itu milik persendirian mereka, mereka boleh menguruskan syarikat itu sesuka hati mereka. Akibatnya, lama-kelamaan syarikat itupun lumpuh dan tak mampu bertahan lama. Well, saya katakan kepada mereka bahawa Wasiyyah Shoppe tidak seperti itu. Kami mempunyai ahli lembaga pengarah profesional yang berpengalaman dalam bidang korporat dan kami mematuhi sepenuhnya 'corporate governance' yang telah ditetapkan. Ini adalah antara rahsia kenapa Wasiyyah Shoppe masih bertahan sehingga hari ini walaupun industri ini mempunyai banyak cabarannya.