Friday, June 18, 2010

Kampung Baru Oh Kampung Baru

Pada pagi Ahad yang lepas saya dan keluarga singgah di Kampung Baru untuk menikmati nasi lemak ( tak tahu apa nama lak ) di depan Menara DBKL di persimpangan Jalan Kampung Baru dan Jalan Sultan Ismail. Ramai sungguh orang kita datang berduyun-duyun beratur mengambil makanan masing-masing. Saya pun kadang-kadang hairan apakah faktor utama orang berpusu-pusu ke situ kerana pada pandangan saya nasi lemaknya tidaklah sehebat manapun ( Sorry kerana sayapun budak kampung yang biasa menikmati nasi lemak yang lebih hebat dari itu!). Perbualan dengan salah seorang pelanggan menunjukkan bahawa mereka datang ke situ hampir setiap minggu ! Bila ditanya kenapa , jawapannya ialah kerana Kampung Baru ialah satu-satunya tempat di mana mereka boleh menikmati suasana kampung di tengah KL. Jadi kesimpulan yang boleh saya buat ialah kerana orang Melayu KL sebenarnya sangat sentimental dengan Kampung masing-masing kerana itulah mereka sangat menyukai Kampung Baru. Namun kesemua keadaan itu akan berubah tidak lama lagi. Kampung Baru bakal dibangunkan sebagai satu hab pembangunan moden dengan pembangunan bercampur ( mix development ) yang dijangkakan sehebat KLCC. ( Atau mungkin lebih baik dari itu lagi ).
Maka timbullah isu hak orang Melayu. Kerajaan mengatakan jika pembangunan ini tidak diberikan kepada orang bukan Melayu, maka pembangunan ini tidak akan mendapat sambutan dan mungkin juga cadangannya gagal dilaksanakan. Maka isu kouta 60:40 ditimbulkan. Tentangan dari orang Melayu mengenai isu ini bukan sedikit. Semua orang memberikan pandangan masing-masing. Pada saya isu terbesar sebenarnya bukanlah dari segi pembangunan semasa tetapi dari segi sumbangan pembangunan Kampung Baru kepada ekonomi orang Melayu secara keseluruhannya terutama kepada generasi akan datang. Sebagai anak Melayu saya akan berbangga sangat-sangat jika saya boleh bercerita kepada anak cucu saya bahawa Kampung Baru ialah kawasan yang 100% dimiliki oleh orang Melayu. Semua perniagaan di situ juga dimiliki dan diurus oleh 100% orang Melayu. Malah jika ini berlaku, saya akan arahkan semua anak cucu saya supaya shopping di Kampung Baru sahaja.
Kita kena renung ...... apa sahajalah yang tinggal kepada orang Melayu di Kuala Lumpur. Nak beli rumahpun kita terpaksa beli rumah di luar Kuala Lumpur seperti Bangi, Hulu Yam, Rawang, Nilai, Bentong dan kawasan yang sewaktu dengannya. Rumah Kuala Lumpur seperti di Damansara Heights, PJ, Hartamas, Jalan Duta...belum tentu mampu kita miliki. Jadi jika Kampung Baru yang merupakan satu-satunya warisan orang Melayu di Kuala Lumpur juga dijual kepada orang bukan Melayu, apakah lagi yang kita ada ?
Kepada penduduk tempatan Kampung Baru, saya harap mereka akan terus berjuang supaya tanah milik warisan ini akan terus terjaga dan kekal menjad milik kita selama-lamanya. Janganlah kerana kabur dengan tawaran wang ringgit yang banyak hari ini, anak cucu kita pula menangis kemudian hari. SELAMAT BERJUANG.

Sunday, June 13, 2010

Betul ke Wasiat membantu waris ?

Baru-baru ini saya bertemu seorang sahabat lama yang telah kematian bapa. Semasa hidup bapanya telah membuat wasiat dan melantik wasi bagi harta pusakanya. Sahabat ini memberi komen bahawa walaupun bapanya telah membuat wasiat, ia tidak banyak membantu mereka sebagai waris. Mereka masih perlu hadir ke pejabat syarikat amanah yang dilantik pada hari bekerja dan terpaksa mengambil cuti kerana adik-beradiknya berada di seluruh Malaysia. Mereka juga difahamkan bahawa harta pusaka itu akan ditolak dengan pelbaga caj-caj pentadbiran proses pusaka sedangkan dia diberitahu oleh rakan yang lain bahawa jika mereka adik-beradik pergi terus ke Pejabat Pesaka Kecil ( Kerana harta ayahnya hanyalah sekitar RM 800,00o sahaja ) caj yang dikenakan oleh Pejabat Pesaka Kecil adalah jauh lebih murah. Jadi dia bertanya kepada saya, kenapa orang kata jika wasiat telah disediakan , ia akan memberi banyak manafaat kepada waris ?
Saya hanya mampu tersenyum kerana itulah sebenarnya hakikat yang berlaku kepada majoriti orang yang membuat wasiat hari ini ! Dengan membuat wasiat mereka bukannya membantu waris-waris malah dalam banyak keadaan, mereka meletakkan waris-waris mereka dalam masalah yang lebih besar berbanding dengan jika mereka tidak membuat wasiat. Waris-waris perlu membayar fi yang mahal dan proses yang lebih panjang masanya.
Saya sebenarnya dah letih bercerita dengan orang Islam di Malaysia bahawa hanya 2 kategori orang Islam sahaja yang memerlukan wasiat iaitu orang Islam yang hartanya melebihi RM 2 juta ( kes dibicarakan di Mahkamah Tinggi Sivil dan wasiat diperlukan bagi tujuan perlantikan wasi ) serta orang Islam yang berhasrat untuk mengagihkan maksima 1/3 dari harta pusakanya kepada bukan waris bagi tujuan amal jariah. BUKAN SEMUA ORANG ISLAM PERLUKAN WASIAT !
Tapi nak buat macamana sebab hari ini, bila buat loan rumah atau personal loan , kita 'dipaksa' menandatangani wasiat. Wasiat itu telah digeneralisasikan sebagai satu dokumen yang wajib untuk dibuat untuk semua orang Islam. Saya sendiri pernah bertanya kepada seorang pengurus bank dengan soalan asas iaitu 'APA ITU WASIAT' dan dia sendiripun tidak tahu sedangkan cawangannya 'menjual' sehingga 100 wasiat sebulan !
Saya boleh simpulkan bahawa Wasiat hari ini adalah satu dokumen yang paling 'misrepresented' di dalam pasaran. Dimana-mana orang membuat wasiat tetapi mereka sendiri tidak tahu apa itu wasiat. Itulah sebabnya saya selalu menasihatkan penggerak di dalam industri, jika mereka ingin menjual wasiat, pastikan dahulu kedudukannya di dalam undang-undang Sivil dan Syariah supaya orang Islam tidak terus terkeliru.
Paling mengharukan ialah apabila sahabat lama saya yang mempunyai pengalaman kurang baik mengenai wasiat ini terus membuat kesimpulan, 'BAIK TAK PAYAH BUAT APA-APA DOKUMEN SEBAB ADA WASIATPUN MENYUSAHKAN SAJA!'
Sedangkan perancangan harta dalam Islam itu sangat luas dengan instrumen yang pelbagai seperti Hibah, Harta Sepencarian, Amanah, Wakaf dan sebagainya. Wasiat sememangnya mempunyai peranan yang sangat terhad kepada orang Islam. Wallahualam.....