Tuesday, September 15, 2009

SALAM AIDILFITRI

Alhamdulillah kita telah hampir berjaya menamatkan bulan Ramadhan yang penuh berkat tahun ini. Di kesempatan ini saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua Francaisi, Perunding, Pelanggan Wasiyyah Shoppe dan semua umat Islam di seluruh Malaysia yang mengenali saya dan Wasiyyah Shoppe.
Mungkin di sepanjang perkenalan kita, ada antara kata-kata atau tindakan yang saya ambil menyinggung perasaan kalian, sepuluh jari saya susunkan sebagai tanda permohonan maaf yang ikhlas jauh dari sudut hati. Saya akur kepada hakikat bahawa sebagai manusia saya banyak melakukan kesilapan dan saya akui kelemahan ini. Semoga saya dimaafkan.
Raya tahun ini saya akan menyambutnya di Kuala Lumpur terlebih dahulu. Selepas melawat bapa saudara, ibu saudara dan pusara ayah, barulah saya akan berangkat pulang ke kampung isteri di Labis, Segamat. Mungkin pada raya ketiga baru saya akan ke kampung kelahiran saya di Kluang untuk bertemu nenek-nenek ( saya ada 4 nenek!), ibu-ibu saudara dan bapa-bapa saudara yang keseluruhannya lebih kurang 30 orang ( plus minus!) serta bertemu sepupu-sepupu yang saya anggarkan dalam lebih kurang 40 orang lagi. Bayangkan berapa banyak duit raya yang saya kena keluar!
Walau apapun saya seronok kerana inilah satu-satunya peluang dalam setahun saya dapat beramah-mesra dengan ahli keluarga saya, maklumlah kesibukan tugas selalu membataskan kita dari bertemu dengan mereka.
Kepada semua umat Islam di Malaysia, saya ucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI minal aidil wal faidzin. Hati-hati di jalanraya semasa pulang ke kampung. Kepada francaisi dan perunding Wasiyyah Shoppe. berehat dan berseronoklah secukupnya sepanjang cuti hari raya ini. Selepas ini masih ada banyak tanggungjawab yang perlu kita laksanakan. Semoga Allah SWT terus memberikan kita kekuatan untuk meneruskan perjuangan ini, Amin.

Wednesday, September 9, 2009

MENGEJAR LAILATUL QADAR

Salam Ramadhan. Hari ini kita memasuki 20 Ramadhan.Perasaan bercampur-baur di antara seronok dan sedih. Seronok kerana ini bermakna pencarian untuk Lailatul Qadar telah bermula. Malam ini kita akan menghiasi malam dengan Tadarus, Sunat Tahjud, Sunat Hajat, Sunat Taubat, Sunat Tasbih dan pelbagai ibadat yang lain. Airmata keinsafan dan taubat akan mengalir dengan mudah malam ini mengharapkan Ihsan Allah SWT. Semoga Dia memandang kita dengan penuh kasih sayang dan melimpahi rahmatNya.

Sedih pula kerana ini bermakna Ramadhan sudah hampir sampai ke penghujungnya. Rasanya belum puas beribadat dan memohon keampunan malah diri ini rasa penuh dengan dosa dan kesalahan yang masih belum terampun sepenuhnya. Fasa maghfirath telah berakhir dan semoga Allah SWT membuka pintu syurganya untuk kita di 10 hari terakhir ini.

Sama ada kita akan bertemu lagi dengan Ramadhan yang akan datang atau tidak, hanya Allah SWT sahajalah yang mengetahuinya.

Doa yang sentiasa saya lafazkan, Ya Allah Ya Tuhanku, berikanlah aku kekuatan untuk terus berjuang di atas landasan ini. Janganlah Engkau tinggalkan aku selepas Engkau memberikan aku hidayah. Sesungguhnya aku mahu mati hanya di atas landasan ini, Amin Amin Ya Rabbal Alamin.

Tuesday, September 1, 2009

CABARAN RAMADHAN


Bulan Ramadhan tiba lagi. Kita semua bersyukur kepada Allah SWT kerana diberikan peluang bertemu lagi dengan bulan yagn penuh keberkatan ini. Tahun ini Ramadhan memberikan cabaran yang agak berbeza kepada saya berbanding tahun-tahun yang lepas. Jika tahun-tahun yang lepas saya mempunyai banyak peluang untuk bersama isteri dan anak-anak berbuka puasa, berterawih di masjid qariah saya, bersahur dan menjalani ibadah puasa di Kuala Lumpur, tahun ini lebih mencabar.

Sehingga 10 Ramadhan, saya hanya berpeluang untuk berpuasa 2 hari sahaja di Kuala Lumpur. Pada hari-hari yang lain ( 7 hari seminggu ) saya bermusafir ke Kemaman, Kota Bharu dan Kuala Terengganu kerana program-program yang diatur oleh sahabat francaisi dan perunding Wasiyyah Shoppe. Bersahur di hotel bukanlah satu pengalaman yang menarik. Memandu di dalam panas terik beratus-ratus kilometer dalam keadaan mengantuk bukanlah satu situasi yang menyeronokkan walaupun pemandangan pemanduan di sepanjang pantai negeri Terengganu memang menyegarkan. Saya mencatit odometer kereta saya dan saya dapati saya telah bermusafir 2700 km dalam tempoh 6 hari bermusafir !

Ramai orang bertanya saya, tak penatkah melalui semua aktiviti ini dalam bulan Ramadhan. Saya tidak akan berbohong…..ia memang amat memenatkan. Tapi saya komited . Ramai juga yang bertanya apa yang ‘drive’ saya untuk bekerja 7 hari seminggu tanpa henti dalam bulan Ramadhan ini ?

Jawapan saya mudah sahaja. Saya telah dikurniakan Allah SWT dengan peluang untuk berbakti kepada ummah melalui kerja ini. Saya telah dilimpahi dengan rahmatNya apabila dia mempertemukan saya dengan ramai ilmuwan-ilmuwan berpengalaman dalam isu pewarisan di Malaysia. Prof Madya Ridzuan Awang ( UKM ) , Prof Dr Islami Abu Hassan ( UIA ) , Tn Hj Abdullah Mohammad ( Pesaka Kecil Persekutuan ), Tn Hj Sulaiman Kadimi ( Pesaka Kecil Pahang) dan rakan-rakan peguam syariah dan sivil. Semuanya banyak menyumbang idea dan buah fikiran bernas bagaimana untuk membantu orang Islam di Malaysia mengatasi isu cabaran harta pusaka.

Kerana itu saya berpegang kuat kepada pendirian bahawa apa yang saya lakukan ini adalah satu AMANAH yang akan saya pegang dengan kukuh sehingga saya menghembuskan nafas saya yang terakhir. Pada orang lain ini mungkin satu perniagaan tetapi pada saya ini adalah satu PERJUANGAN menegakkan Sunnah Rasulullah SAW.

Tidak ada apa yang memberikan lebih kepuasan dalam kehidupan ini melainkan melihat betapa hasil kerja kuat saya selama bertahun-tahun membantu orang Islam merancang harta pusaka mereka telah membolehkan anak-anak yatim yang ditinggalkan mendapat harta pusaka arwah ayah / ibu mereka dengan cepat dan tidak membebankan dari segi kos. Ini satu ibadat FARDHU KIFAYAH.

Setiap pagi apabila celik dari tidur, saya bersyukur kepada Allah SWT kerana menghidupkan saya satu hari lagi bagi terus berdakwah menyebarkan ilmu pewarisan harta secara Syariah . Inilah yang ‘drive’ saya untuk terus bekerja tanpa mengenal penat-lelah dan jemu. Kerja inilah juga yang akan saya buat dengan bersungguh-sungguh sehingga ke ahir hayat saya, Insya’Allah..