Friday, June 18, 2010

Kampung Baru Oh Kampung Baru

Pada pagi Ahad yang lepas saya dan keluarga singgah di Kampung Baru untuk menikmati nasi lemak ( tak tahu apa nama lak ) di depan Menara DBKL di persimpangan Jalan Kampung Baru dan Jalan Sultan Ismail. Ramai sungguh orang kita datang berduyun-duyun beratur mengambil makanan masing-masing. Saya pun kadang-kadang hairan apakah faktor utama orang berpusu-pusu ke situ kerana pada pandangan saya nasi lemaknya tidaklah sehebat manapun ( Sorry kerana sayapun budak kampung yang biasa menikmati nasi lemak yang lebih hebat dari itu!). Perbualan dengan salah seorang pelanggan menunjukkan bahawa mereka datang ke situ hampir setiap minggu ! Bila ditanya kenapa , jawapannya ialah kerana Kampung Baru ialah satu-satunya tempat di mana mereka boleh menikmati suasana kampung di tengah KL. Jadi kesimpulan yang boleh saya buat ialah kerana orang Melayu KL sebenarnya sangat sentimental dengan Kampung masing-masing kerana itulah mereka sangat menyukai Kampung Baru. Namun kesemua keadaan itu akan berubah tidak lama lagi. Kampung Baru bakal dibangunkan sebagai satu hab pembangunan moden dengan pembangunan bercampur ( mix development ) yang dijangkakan sehebat KLCC. ( Atau mungkin lebih baik dari itu lagi ).
Maka timbullah isu hak orang Melayu. Kerajaan mengatakan jika pembangunan ini tidak diberikan kepada orang bukan Melayu, maka pembangunan ini tidak akan mendapat sambutan dan mungkin juga cadangannya gagal dilaksanakan. Maka isu kouta 60:40 ditimbulkan. Tentangan dari orang Melayu mengenai isu ini bukan sedikit. Semua orang memberikan pandangan masing-masing. Pada saya isu terbesar sebenarnya bukanlah dari segi pembangunan semasa tetapi dari segi sumbangan pembangunan Kampung Baru kepada ekonomi orang Melayu secara keseluruhannya terutama kepada generasi akan datang. Sebagai anak Melayu saya akan berbangga sangat-sangat jika saya boleh bercerita kepada anak cucu saya bahawa Kampung Baru ialah kawasan yang 100% dimiliki oleh orang Melayu. Semua perniagaan di situ juga dimiliki dan diurus oleh 100% orang Melayu. Malah jika ini berlaku, saya akan arahkan semua anak cucu saya supaya shopping di Kampung Baru sahaja.
Kita kena renung ...... apa sahajalah yang tinggal kepada orang Melayu di Kuala Lumpur. Nak beli rumahpun kita terpaksa beli rumah di luar Kuala Lumpur seperti Bangi, Hulu Yam, Rawang, Nilai, Bentong dan kawasan yang sewaktu dengannya. Rumah Kuala Lumpur seperti di Damansara Heights, PJ, Hartamas, Jalan Duta...belum tentu mampu kita miliki. Jadi jika Kampung Baru yang merupakan satu-satunya warisan orang Melayu di Kuala Lumpur juga dijual kepada orang bukan Melayu, apakah lagi yang kita ada ?
Kepada penduduk tempatan Kampung Baru, saya harap mereka akan terus berjuang supaya tanah milik warisan ini akan terus terjaga dan kekal menjad milik kita selama-lamanya. Janganlah kerana kabur dengan tawaran wang ringgit yang banyak hari ini, anak cucu kita pula menangis kemudian hari. SELAMAT BERJUANG.

Sunday, June 13, 2010

Betul ke Wasiat membantu waris ?

Baru-baru ini saya bertemu seorang sahabat lama yang telah kematian bapa. Semasa hidup bapanya telah membuat wasiat dan melantik wasi bagi harta pusakanya. Sahabat ini memberi komen bahawa walaupun bapanya telah membuat wasiat, ia tidak banyak membantu mereka sebagai waris. Mereka masih perlu hadir ke pejabat syarikat amanah yang dilantik pada hari bekerja dan terpaksa mengambil cuti kerana adik-beradiknya berada di seluruh Malaysia. Mereka juga difahamkan bahawa harta pusaka itu akan ditolak dengan pelbaga caj-caj pentadbiran proses pusaka sedangkan dia diberitahu oleh rakan yang lain bahawa jika mereka adik-beradik pergi terus ke Pejabat Pesaka Kecil ( Kerana harta ayahnya hanyalah sekitar RM 800,00o sahaja ) caj yang dikenakan oleh Pejabat Pesaka Kecil adalah jauh lebih murah. Jadi dia bertanya kepada saya, kenapa orang kata jika wasiat telah disediakan , ia akan memberi banyak manafaat kepada waris ?
Saya hanya mampu tersenyum kerana itulah sebenarnya hakikat yang berlaku kepada majoriti orang yang membuat wasiat hari ini ! Dengan membuat wasiat mereka bukannya membantu waris-waris malah dalam banyak keadaan, mereka meletakkan waris-waris mereka dalam masalah yang lebih besar berbanding dengan jika mereka tidak membuat wasiat. Waris-waris perlu membayar fi yang mahal dan proses yang lebih panjang masanya.
Saya sebenarnya dah letih bercerita dengan orang Islam di Malaysia bahawa hanya 2 kategori orang Islam sahaja yang memerlukan wasiat iaitu orang Islam yang hartanya melebihi RM 2 juta ( kes dibicarakan di Mahkamah Tinggi Sivil dan wasiat diperlukan bagi tujuan perlantikan wasi ) serta orang Islam yang berhasrat untuk mengagihkan maksima 1/3 dari harta pusakanya kepada bukan waris bagi tujuan amal jariah. BUKAN SEMUA ORANG ISLAM PERLUKAN WASIAT !
Tapi nak buat macamana sebab hari ini, bila buat loan rumah atau personal loan , kita 'dipaksa' menandatangani wasiat. Wasiat itu telah digeneralisasikan sebagai satu dokumen yang wajib untuk dibuat untuk semua orang Islam. Saya sendiri pernah bertanya kepada seorang pengurus bank dengan soalan asas iaitu 'APA ITU WASIAT' dan dia sendiripun tidak tahu sedangkan cawangannya 'menjual' sehingga 100 wasiat sebulan !
Saya boleh simpulkan bahawa Wasiat hari ini adalah satu dokumen yang paling 'misrepresented' di dalam pasaran. Dimana-mana orang membuat wasiat tetapi mereka sendiri tidak tahu apa itu wasiat. Itulah sebabnya saya selalu menasihatkan penggerak di dalam industri, jika mereka ingin menjual wasiat, pastikan dahulu kedudukannya di dalam undang-undang Sivil dan Syariah supaya orang Islam tidak terus terkeliru.
Paling mengharukan ialah apabila sahabat lama saya yang mempunyai pengalaman kurang baik mengenai wasiat ini terus membuat kesimpulan, 'BAIK TAK PAYAH BUAT APA-APA DOKUMEN SEBAB ADA WASIATPUN MENYUSAHKAN SAJA!'
Sedangkan perancangan harta dalam Islam itu sangat luas dengan instrumen yang pelbagai seperti Hibah, Harta Sepencarian, Amanah, Wakaf dan sebagainya. Wasiat sememangnya mempunyai peranan yang sangat terhad kepada orang Islam. Wallahualam.....

Sunday, May 30, 2010

Peluang Kerjaya Sebagai Perunding Profesional Mawarith

Wasiyyah Shoppe sedang di dalam proses untuk mencari, melatih dan membentuk 2000 orang Perunding Profesional Mawarith bagi membantu umat Islam di Malaysia merancang dan mengurus harta pusaka mereka mengikut Kaedah Syariah. Melalui program ini, kami akan memberi latihan intensif kepada Perunding untuk menguasai ilmu-ilmu berkaitan pewarisan harta orang Islam seperti Hukum Faraid, Hibah, Wasiat, Harta Sepencarian dan Amanah. Selepas selesai latihan, mereka akan didedahkan dengan FORMULA PENDAPATAN 5 ANGKA sebulan. Formula ini jika dituruti dengan disiplin tinggi, telah terbukti mampu memberikan pendapatan sehingga RM 10 ribu sebulan kepada Perunding. Perniagaan ini boleh dibuat sama ada secara sepenuh masa atau sambilan.
Promosi pendaftaran untuk program ini hanyalah RM 200 sahaja sehingga 30hb Jun. Mulai 1hb Julai, fi pendaftarannya ialah RM 500. Jadi jika berminat sila hubungi Azrul di talian 03-62509573 untuk maklumat lanjut.
Potensi perniagaan ini sebenarnya amat besar sekali sehinggakan orang bukan Islampun berebut-rebut ingin menceburinya. Selagi ada bayi dilahirkan, selagi ada ada orang mati, selagi itulah perkhidmatan Wasiyyah Shoppe diperlukan. Jadi tepuk dada tanya iman, mahukah kita menjadi individu yang menyumbang kepada ummah kita dari sudut perancangan harta secara Syariah ini ???????

Monday, May 24, 2010

Kedudukan Penama Dalam KWSP

Hari ini, 25hb Mei 2010, KWSP muncul di MHI TV3 menjelaskan isu penamaan dalam konteks KWSP. Saya amat tertarik dengan isu ini kerana memang ramai orang tidak faham mengenainya. Isu ini sebenarnya perlu dilihat dari 2 perspektif yang berbeza iaitu dari segi proses dan hak.

Dari segi proses, penamaan akan memudahkan KWSP untuk membayar wang apabila ahli itu meninggal dunia kepada penama yang telah ditetapkan. Di dalam tempoh 3 minggu selepas menuntut ( dengan syarat semua dokumen lengkap ), KWSP boleh memproses dan membayar wang kepada penama.

Tetapi jika tiada penamaan dan akaun KWSP itu bernilai lebih dari RM 25,000, KWSP akan membayar RM 2500 selepas kematian dilaporkan, manakala bakinya hanya akan dibayar di atas nama yang tertera di dalam Surat Kuasa Mentadbir yang dikeluarkan oleh Pejabat Pesaka Kecil ( Jika simati mempunyai nilai harta kurang dari RM 2 juta ) atau Mahkamah Tinggi Sivil ( Jika simati mempunyai nilai harta lebih dari RM 2 juta ). Proses untuk mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir ini pula jika waris tidak mengetahui caranya , akan memakan masa bertahun-tahun lamanya dan kosnya pun akan mencecah ribuan ringgit.
Dari segi hak pula, penama sebenarnya hanyalah Wasi ( pemegang amanah ). Walaupun ahli meletakkan penama isteri dan anak-anak serta meletakkan peratusan yang mereka ingini, penama ini memang akan menerima pembayaran dari KWSP tetapi wang itu boleh dituntut oleh waris-waris lain yang berhak mengikut Hukum Faraid. Jadi pemberian wang itu bukanlah bersifat 'absolute'
Jadi, nak letak penama ke tidak ? Di dalam pasaran hari ini ada syarikat amanah yang mempromosikan JANGAN LETAK PENAMA untuk akaun KWSP kerana menurut mereka ada kemungkinan penama tidak menjalankan tanggungjawab sebagai Wasi dan sapu habis wang itu ! Menurut mereka lagi, lebih baik ahli KWSP membuat wasiat dan melantik mereka sebagai Wasi. Syarikat amanahlah yang akan menuntut wang ini dan mengagihkannya kepada waris-waris yang berhak mengikut Hukum Faraid. Masalahnya, jika ini pilihan ahli KWSP, waris-waris terpaksa melalui proses perundangan yang sukar, memakan masa bertahun-tahun untuk diselesaikan dan membayar kos yang mahal.
Pandangan peribadi saya ? Saya katakan lebih baik letak penama untuk akaun KWSP. Namun pastikan penama itu ialah orang yang sama kita lantik sebagai Wasi ( di dalam wasiat ) kerana dia akan menjalankan tanggungjawab mengumpulkan semua harta kita, membayar hutang kita dan mengagih harta pusaka kita kepada waris mengikut Hukum Faraid atau permuafakatan. Jika diletak penama juga, proses pembayaran dari KWSP kepada penama akan menjadi lebih cepat ( di dalam tempoh 3 minggu sahaja ) dan kosnya juga amat murah berbanding jika kita membiarkan syarikat amanah menuntut wang itu.
Jadi, tepuk dada tanya iman, renung muka isteri dan anak-anak kita. Adakah kita tergamak membiarkan mereka kesusahan selepas ketiadaan kita kelak ? Hmmmm.......( Sambil mengeruk kepala yang tak gatal!)

Sunday, May 16, 2010

Sampai bila kita akan begini ?

Saya baru balik dari menghadiri konvensyen usahawan bumiputera dan antara agenda terpenting yang dibincangkan ialah mengenai Model Ekonomi Baru ( MEB ). Pada pandangan peribadi saya, masa depan kelihatannya 'tidak begitu cerah' bagi orang Melayu Islam seperti saya dan anda juga (jika anda seorang Melayu) apabila model ini dilaksanakan kelak. Dam membawa Malaysia ke ekonomi berpendapatan tinggi USD 15,000 / annum, ciri utama MEB ini ialah ia dipacu oleh pasaran ( market led ). Siapakah 'pasaran' itu ? Pastinya ia adalah pihak swasta. Dan siapakah pula pihak swasta ini ? Pastinya ia dipacu oleh usahawan ( businessman ). Dan siapakah pula usahawan yang menguasai ekonomi Malaysia hari ini dan juga masa akan datang ? Tepuk dada tanya iman, buka mata dan tolehlah di sekeliling kita...pasti kita akan ketemu jawapannya.
Namun apa yang lebih menyedihkan ialah kerana sudahlah penguasaan ekonomi kelihatannya semakin meninggalkan kita, politik kita juga cerca-merba malah lebih buruk lagi, wujud ramai si kitul di kalangan kita. Ada orang kita sendiri yang sanggup bersusah-payah cuba memusnahkan organisasi keusahawanan milik orang kita juga. Cakaplah apa sahaja kepada golongan ini bahawa kita bekerja Kerana Allah SWT dan Dialah yang akan memberi kita sebaik-baik ganjaran, bagi golongan si kitul ini, itu semua tidak penting. Yang penting ialah mereka akan kaya-raya dan hidup mewah. Yang menguasai minda dan fikiran mereka bukanlah kepentingan bangsa dan agama tetapi sebaliknya kepentingan diri mereka sendiri.
Sehinggakan kadang2 saya mengurut dada dan beristighfar kerana tidak percaya seorang Islam yang mengucap kalimah Syahadat 5 kali sehari sanggup turun ke tahap yang begitu rendah sekali ! Sedarlah wahai bangsaku. Apa yang mesti kita lakukan sekarang ialah merapatkan ukhwah dan memantapkan barisan. Kepentingan bangsa dan agama mesti mengatasi kepentingan peribadi. MEB memberikan cabaran baru kepada kita. Lanskap ekonomi, politik dan sosial telahpun berubah dan kita mesti bekerja kuat untuk menyesuaikan diri. Jika kita masih berpecah-belah dan dengki-mendengki, kita akan rebah dan pupus seperti pupusnya dinosaur satu ketika dulu.....renungkan....bersatu atau pupus, pilihan di tangan kita.

Friday, April 9, 2010

Program Usahawan Siswazah Mirath

Salam bertemu kembali di ruangan blog ini. Wasiyyah Shoppe telah mendapatkan kelulusan dari Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia untuk melancarkan Program Usahawan Siswazah Mirath. Objektif utama program ini ialah untuk membentuk Usahawan Profesional di dalam industri perancangan dan pengurusan harta pusaka secara Syariah di Malaysia. Sesiapa sahaja graduan dari apa sahaja bidang di antara umur 23-30 tahun layak memohon bagi menyertai program namun keutamaan akan diberikan kepada graduan dari bidang Pengajian Islam, Pengurusan Perniagaan dan Ekonomi. Melalui program ini , siswazah akan diberikan latihan intensif selama 1 tahun untuk menguasai ilmu pewarisan harta Islam dan dalam masa yang sama akan dibimbing melalui FORMULA KHAS bagaimana untuk memperoleh pendapatan sehingga RM 4000 sebulan dalam tempoh 1 tahun ini. Program seumpama ini adalah yang pertama di Malaysia. Wasiyyah Shoppe hanya memerlukan 100 orang Siswazah sahaja untuk program ini.

Sunday, March 21, 2010

Perjuangan baru bermula

Alhamdulillah, Allah SWT masih terus memberikan saya kekuatan untuk menulis di dalam blog ini walaupun selama hampir 2 bulan yang lepas, masa agak suntuk akibat hambatan tanggungjawab yang amat berat. Alhamdulillah, segala perancangan telah berjaya disiapkan dan kini sedang di dalam proses perlaksanaan . Wasiyyah Shoppe hari ini berbangga kerana kami adalah satu-satunya entiti milik penuh orang Islam yang mempunyai produk paling komprehensif dan berkesan di dalam industri dengan kejayaan mengurus harta pusaka paling efisien pada kadar yang paling cepat dan yang paling penting kami berjaya membantu waris-waris menuntut harta pusaka TANPA SEBARANG CAJ DIKENAKAN kepada waris mahupun kepada harta pusaka simati. Inilah sebenarnya kepuasan terbesar yang saya capai di dalam menjalankan amanah ini, iaitu dapat MEMBANTU WARIS menuntut harta pusaka simati dengan cepat.
Namun saya sedar, perjuangan sebenarnya baru bermula. Perjalanan industri ini sebenarnya masih terlalu jauh sehingga tidak dapat melihat di mana ufuknya. Terlalu ramai orang Islam di luar sana yang mesti dibantu oleh Wasiyyah Shoppe. Masih banyak lagi waris-waris yang terkapai-kapai kebingungan tidak tahu bagaimana untuk menuntut harta pusaka si ayah, si ibu atau suami yang telah meninggal dunia. Masih ramai lagi anak-anak yatim di luar sana yang terpaksa menderita menunggu sehingga bertahun-tahun sebelum dapat menerima harta pusaka tinggalan ayah / ibu. Masih terlalu ramai orang Islam yang tidak tahu apa bezanya antara wasiat dan hibah. Masih berbilion nilai harta pusaka yang masih tertunggak....
Jadi perjuangan sebenarnya baru bermula. Marilah berjuang bersama-sama saya.....