Monday, October 26, 2009

Perjuangan Baru Bermula

Salam perjuangan. Hari ini 26 Oktober 2009 dan saya baru pulang dari bermusafir selama 5 hari di Kelantan dan Terengganu. Memanglah penat tidak kepalang kerana saya telah mengembara sejauh 2000 km dalam tempoh waktu itu serta menyampaikan lebih dari 7 ceramah. Sambutan dari masyarakat memang menggalakkan. Malah saya rasa amat teruja apabila saya dapat melihat betapa kerja kuat kami selama beberapa tahun melalui Wasiyyah Shoppe mendapat penghargaan dari masyarakat.
Lagi banyak kes pusaka yang kami temui di seluruh Malaysia lebih tinggi rasa kesedaran yang timbul di benak fikiran betapa perjuangan kami sebenarnya baru bermula. Terlalu banyak kes pusaka di luar sana yang tergantung dan perlu dibantu selesaikan. Terlalu ramai orang Islam di luar sana yang sangat memerlukan bantuan dan perkhidmatan Wasiyyah Shoppe. Bukan sedikit jumlah ibu tunggal dan anak-anak yatim yang tersiksa kerana harta pusaka suami / ayah yang ditinggalkan gagal dituntut dengan cepat.
Semua ini menyedarkan saya betapa apa yang saya ada hari ini sebenarnya lebih merupakan satu amanah besar yang perlu dilaksanakan dengan keikhlasan, kejujuran dan sepenuh hati. Saya selalu berdoa agar Allah SWT terus menetapkan hati saya untuk terus berjuang di atas landasan ini. Semoga semua Francaisi dan Perunding Wasiyyah Shoppe juga mempunyai iltizam yang sama. Perjuangan baru bermula wahai sahabatku. Bangunlah, bangkitlah dan jangan biarkan orang bukan Islam menerajui ilmu-ilmu Allah SWT ini. Marilah berjuang bersamaku...

Friday, October 9, 2009

Antara Kemewahan Dan Perjuangan

Salam Syawal. Walaupun 1 Syawal sudah 21 hari meninggalkan kita, mood perayaan masih lagi hangat dirasai. Setiap hari saya menerima jemputan open house dan open office. Makan minum rasa dah agak tidak terurus kerana terlalu banyak sangat jemputan. Inilah nikmat kita hidup di Malaysia, rezeki memang murah sangat.
Saya ditanya oleh ramai orang kenapa saya nak melakukan kerja ini. Sebagai seorang yang pernah bergiat dalam bidang pengurusan kewangan di bank dan syarikat unit trust, memang saya tahu saya boleh mendapat wang dan ganjaran yang lebih banyak sekiranya saya balik semula ke dunia korporat kewangan. Malah ramai rakan yang seangkatan dengan saya dahulu kini sudahpun mula menjadi CEO di konglomerat kewangan.
Entahlah saya pun kadang-kadang tertanya diri sendiri kenapa saya hendak bekerja di dalam industri perancangan dan pengurusan harta pusaka yang serba mencabar ini. Persaingan amat hebat sekali terutamanya dengan syarikat gergasi dan syarikat milik orang bukan Islam.
Namun bila saya flashback dan renung kembali apa yang telah dicapai oleh Wasiyyah Shoppe, saya rasa amat perasaan 'fulfillment' yang amat maksima. Kerana usaha kuat saya bekerja tanpa henti 7 hari seminggu adakalanya sampai 3 bulan berterusan, ramai anak-anak yatim yang telah Wasiyyah Shoppe bantu untuk menerima harta pusaka arwah ayah mereka dengan lebih cepat dan yang paling hebat sekali, mereka TIDAK PERLU MEMBAYAR APA-APA untuk perkhidmatan pengurusan pusaka yang kami berikan.
Bayangkan, sudahlah kematian ayah atau ibu, proses untuk menuntut harta pusaka pula memakan masa bertahun-tahun lamanya dan belanja pula, MASYA'ALLAH ! Di Malaysia hari ini ramai orang yang membuat wasiat tidak pernah mengambil tahu atau tidak diberitahu mengenai kos pengurusan harta pusaka yang perlu ditanggung oleh waris-waris mereka kelak. Saya pernah melihat jadual kos pengurusan pusaka sebuah syarikat . Reaksi spontan saya bila saya terbaca jadual itu, saya mengurut dada ! Kenapa ? Kerana waris-waris dicaj dengan caj yang semaksima mungkin. Memang benar syarikat ini mengenakan caj hanya beberapa ratus ringgit sahaja untuk wasiat tetapi untuk pengurusan pusaka, caj yang dikenakan....Kus semangat.
Walaupun jadual itu menyebut waris-waris dikenakan kos sehingga 2 % sahaja tetapi itu tidak 'conclusive' kerana tidak termasuk dengan pelbagai kos-kos lain. Dalam erti kata lain, ayah dan ibu yang membuat wasiat memang dikenakan kos beberapa ratus ringgit sahaja tetapi selepas kematian mereka, waris terpaksa membayar pelbagai kos yang membebankan. Bila saya perhatikan jadual caj itu, kesimpulan yang dapat saya buat ialah, nasib waris-waris benar-benar terletak di tangan syarikat . Mereka seolah-olah terpaksa meminta sedekah dan belas ikhsan dari syarikat .
Ibaratnya begini, apa sahaja yang waris hendak atau lalui, mereka akan dikenakan caj. Waris toleh kanan kena bayar, toleh kiri kena bayar, dongak kena bayar, duduk kena bayar malah berdegup jantungpun kena bayar ! Semuanya dikenakan bayaran yang agak mewah pendapatannya untuk syarikat . Kerana itulah syarikat tidak kisah mengenakan caj yang murah untuk wasiat kerana 'upah sembelihan' mereka sebenarnya ialah apabila pewasiat itu mati.
Ramai orang yang mengatakan saya idealistik tetapi tidak realistik kerana sememangnya dalam industri ini, kek yang paling besar sebenarnya ialah pada pengurusan pusaka. Puratanya hampir kesemua pemain industri termasuk peguam mengenakan caj sehinga 2 % dari nilai harta pusaka. Walaupun saya dikritik hebat tapi saya tak pernah mengambil hati. Jauh sekali kecewa dan merajuk.
Saya seorang bapa. Saya bekerja kuat sehingga hari ini untuk memastikan anak-anak saya mendapat perlindungan dan kebajikan mereka terjaga selepas saya tiada kelak. Untuk siapa saya bekerja separuh nyawa ini ? Tentunya untuk anak-anak saya. Tetapi bila saya meninggal dunia kelak dan harta pusaka saya diuruskan oleh syarikat pengurusan pusaka , sebahagian besar dari harta tersebut terpaksa diserahkan kepada syarikat tersebut atas sebab ' kos pengurusan pusaka'.
Memang benar, peruntukan kos pengurusan pusaka ini telah dibuat secara jelas di dalam Akta Probet dan Pentadbiran 1958 namun secara peribadi saya merasakan cara ini tidak 'kena' dari segi moralnya. Kenapa pula syarikat pengurusan pusaka hendak mengenakan caj yang melampau-lampau untuk membuat tugasnya sedangkan harta ini adalah harta anak-anak yatim ? Tak bolehkah syarikat pengurusan pusaka mengenakan caj yang berpatutan sahaja ? Ini hujah dari sudut kos pengurusan pusaka. Sebab itulah di Wasiyyah Shoppe, kami cuba sedaya-upaya untuk tidak membebankan waris. Bagaimana caranya ? Dengan mendidik ibu dan bapa bahawa apabila mereka merancang melalui Wasiyyah Shoppe, bukan sahaja mereka menggunakan perkhidmatan syarikat yang dokumennya telah terbukti berulang-ulangkali di Mahkamah Syariah malah lebih penting lagi, waris-waris mereka tidak akan terbeban. Bukankah bila kita membantu anak yatim, kita juga akan mendapat pahalanya ?
Pernah seorang perunding Wasiyyah Shoppe bertanya saya kenapa komisen yang diterimanya dari membuat kerja Wasiyyah Shoppe secara relatifnya agak kecil berbanding dengan komisen yang bakal diterimanya jika dia bekerja di syarikat pusaka lain. Walaupun produk Wasiyyah Shoppe diakui sebagai yang terbaik di Malaysia namun kepada perundingnya, pendapatan yang diterima ringgit-ke-ringgit ( dollar-to-dollar ) lebih kecil.
Jawapan saya yang konsisten dari awal Bismillah sehingga sekarang tetap konsisten. Kenapa keadaan itu berlaku ialah kerana Wasiyyah Shoppe beroperasi dengan prinsip yang amat mudah tetapi tegas dan jelas. Wasiyyah Shoppe mahu menegakkan Sunnah Rasulullah SAW, mendaulatkan muammalat dan untuk meringankan beban waris terutamanya kepada anak-anak yatim yang kehilangan tempat bergantung. The sense of purpose kenapa wujud Wasiyyah Shoppe ialah untuk menjadikan organisasi kita sebagai organisasi yang berguna kepada orang Islam yang lain selaras dengan sabda Rasulullah SAW :
"Sebaik-baik manusia ialah manusia yang berguna kepada manusia yang lain"
Memang benar jika dibuat perbandingan, komisen kita kurang berbanding dengan syarikat pengurusan pusaka namun waris-waris pelanggan kita mendapat manafaat yang maksima dari perkhidmatan kita. Sudahlah mereka tidak dikenakan sebarang caj, mereka menerima perkhidmatan peribadi pula di mana kita boleh datang bertemu mereka di rumah tidak mengira apa hari atau waktu sekalipun.
Wasiyyah Shoppe boleh memberi komisen yang banyak kepada perundingnya seperti syarikat pengurusan pusaka yang lain. Tetapi siapakah yang akan menanggung kos itu ? Tentunya waris-waris pelanggan. Tergamakkah kita hendak mengenakan caj kepada harta anak-anak yatim semata-mata kerana kita mahukan komisen yang banyak.
Namun saya akui saya tidak boleh mengawal perasaan dan fikiran orang lain. Saya mungkin bekerja dengan nawaitu yang jelas dan ikhlas semata-mata kerana Allah SWT tetapi jika orang lain bekerja kerana komisen dan wang, saya tidak boleh menyalahkan mereka kerana kita semua ada fikiran dan perasaan sendiri.
Jika perunding Wasiyyah Shoppe merasakan mereka boleh mendapat komisen yang lebih banyak dari syarikat amanah lain, saya tidak boleh menyekat mereka untuk berhijrah kerana this is a free world. Semua orang bebas untuk pergi ke mana sahaja mereka rasa selesa. Namun saya hanya ingin mengingatkan bahawa kita mesti renung adakah kita mahu menyokong sistem yang menekan dan membebankan waris-waris seperti yang diamalkan syarikat pengurusan pusaka lain atau kita mahu menyokong sistem Wasiyyah Shoppe yang ingin membantu dan meringankan waris-waris ? Pilihan di tangan kita.
Tepuk dada tanya iman dan fikiran jangan tanya selera. Selera akan kata pilih wang dan komisen yang banyak kerana wang akan menjadikan hidup kita lebih bergaya, bahagia, mewah dan bermegah-megah dengan orang lain. Iman dan fikiran pula akan menyuruh kita bekerja dengan ikhlas dan jujur kerana apa yang kita kerjakan hari ini adalah 'investment' terbaik kita untuk hari akhirat. Jadi sebelum kita membuat pilihan, renungkan persoalan ini. Jika kita pilih untuk menyokong sistem syarikat pengurusan pusaka lain , bermakna kita sama-sama bersubahat di dalam sistem yang menekan, merugi dan menyusahkan waris-waris.
Saya dengan seronok dan bangganya memberitahu bahawa Wasiyyah Shoppe ialah satu-satunya syarikat di Malaysia yang wujud hari ini boleh membantu waris menuntut harta pusaka secara PERCUMA dan ia telah terbukti !
At the end of the day, saya hanya mahu dikenali sebagai Ariffin yang telah membantu banyak keluarga Islam mengurus harta pusaka mereka dengan kaedah Syariah yang tidak menekan dan membebankan waris selepas saya mati kelak. Saya tidak mengharapkan apa-apa semasa saya hidup, jika Allah SWT memberikan rezeki yang murah, Alhamdulillah. Tetapi jika tidak, saya tetap bersyukur dengan apa yang ada. Selepas saya mati pula, saya hanya mengharapkan doa dari ahli keluarga, manafaat dari ilmu yang telah saya curahkan dan ikhsan dari Allah SWT atas segala kerja saya di muka bumi ini, Amin amin Ya Rabbal Alamin. Jumpa lagi dilain kali, Wassalam.