Tuesday, November 17, 2009

BEKERJA DENGAN NAWAITU YANG BETUL

Dalam bekerja berdakwah kepada orang Islam betapa pentingnya mereka merancang harta pusaka mereka mengikut kaedah Syariah, kami melalui pelbagai rintangan dan cabaran. Ramai orang Islam yang masih 'kedekut' untuk mengeluarkan wang bagi mendapatkan perkhidmatan supaya waris-waris mereka kelak tidak susah tetapi dalam masa yang sama dengan rela dan suka hati mengeluarkan jumlah wang yang sama untuk melanggan siaran televisyen kabel ! Malah jika mereka membawa keluarga mereka melancong di dalam negeri juga, kosnya jauh lebih tinggi dari mendapatkan perkhidmatan Wasiyyah Shoppe.
Saya selalu ditanya adakah terdapat perubahan dari segi sikap masyarakat jika dibandingkan dahulu dan sekarang ? Jawapan saya tentunya ada. Jika 5 tahun dulu kami macam nak rak berceramah kepada orang dan langsung tidak dipedulikan, hari ini dari 100 orang yang mendengar ceramah kami, mungkin 10 orang akan mendapatkan perkhidmatan kami. Jadi perubahan itu memang ada. Tapi cukup ke dengan kadar 10% itu ? Bagaimana pula dengan 90 % yang lain. Bukan sekali pengalaman yang kami alami apabila ada waris menelefon kami dan memberitahu bapanya pernah mendengar ceramah kami tapi tak berbuat apa-apa dan sekarang dia dah pun meninggal dunia ! "Tak dapat den nak tolong" itulah jawapan standard saya.
Membuat kerja ini memang penuh dengan cabaran. Saya sendiri pernah berpengalaman bagai nak rak selama 8 jam menyediakan dokumen pelanggan kerana dokumen ini dia order 24 jam sebelum dia berangkat ke Tanah Suci. Mengenangkan betapa besar hasrat pelanggan ini dan tidak mahu mengecewakannya, selepas dokumen disiapkan, saya sanggup menunggunya di Kelana Jaya sebelum dia berangkat ke tanah suci tetapi apabila bertemu dengannya, jawapannya mudah saja,"Saya ingat saya tak jadilah nak buat dokumen ni sebab saya rasa saya selamat kembali ke Malaysia nanti!" Bayangkan bagaimana perasaan saya ketika itu.
Tetapi adakah saya berputus-asa dengan cabaran-cabaran ini ? Tentunya tidak sebaliknya saya rasa lebih bersemangat. Saya meminjam semangat dari Sirah Rasulullah SAW. Baginda juga melalui pelbagai cabaran dan dugaan di dalam dakwah. Walaupun saya tidak sekuat baginda, namun nawaitu di dalam hati saya amat jelas bahawa saya buat kerja ini Kerana Allah SWT dan saya sangat yakin dan percaya Allah SWT akan sentiasa membantu saya.
Saya membuat kerja yang baik kerana menyebarkan Sunnah Rasulullah SAW dan membantu orang Islam. Ini satu tugas yang pada saya amat bermanafaat kepada ummah dan juga kepada diri saya sendiri. Walau apapun cabaran yang datang, saya akan tetap tegar. Saya tahu ramai orang yang telah mengalah membuat kerja ini kerana mereka merasakan kerja ini susah tetapi pulangan dari segi kewangannya masih belum nampak.
Nasihat saya kepada mereka hanya satu. Saya telah buat kerja ini selama 12 tahun dan pelbagai onak dan duri telah saya lalui. Dalam menjalankan amanah ini, kita kena berlapang dada. Kita kena yakin bukan sahaja pada diri sendiri tapi kita kena yakin kepada Allah SWT. Jika Allah SWT menetapkan bahawa pelanggan ini bukan rezeki untuk kita, maknanya Allah SWT sedang memperuntukkan sesuatu yang lebih baik untuk kita. Jadi kita kena berusaha dan terus berusaha tanpa rasa jemu dan putus-asa. Di sinilah letaknya perbezaan di antara Pejuang sebenar di dalam industri dan 'pencari keuntungan'. Orang yang mencari keuntungan akan kecewa kerana keuntungan dari industri ini datangnya memang lambat. Orang yang mengejar keberkatan Allah SWT akan berbahagia akhirnya kerana rezeki kita akan sentiasa ada, Insya'Allah.
Jadi dalam bekerja, pastikan nawaitu kita tepat dan betul iaitu hanya kerana Allah SWT. Kita pegang amanah Allah SWT dengan baik dan Allah SWT akan menjaga kita, Amin.