Monday, October 26, 2009

Perjuangan Baru Bermula

Salam perjuangan. Hari ini 26 Oktober 2009 dan saya baru pulang dari bermusafir selama 5 hari di Kelantan dan Terengganu. Memanglah penat tidak kepalang kerana saya telah mengembara sejauh 2000 km dalam tempoh waktu itu serta menyampaikan lebih dari 7 ceramah. Sambutan dari masyarakat memang menggalakkan. Malah saya rasa amat teruja apabila saya dapat melihat betapa kerja kuat kami selama beberapa tahun melalui Wasiyyah Shoppe mendapat penghargaan dari masyarakat.
Lagi banyak kes pusaka yang kami temui di seluruh Malaysia lebih tinggi rasa kesedaran yang timbul di benak fikiran betapa perjuangan kami sebenarnya baru bermula. Terlalu banyak kes pusaka di luar sana yang tergantung dan perlu dibantu selesaikan. Terlalu ramai orang Islam di luar sana yang sangat memerlukan bantuan dan perkhidmatan Wasiyyah Shoppe. Bukan sedikit jumlah ibu tunggal dan anak-anak yatim yang tersiksa kerana harta pusaka suami / ayah yang ditinggalkan gagal dituntut dengan cepat.
Semua ini menyedarkan saya betapa apa yang saya ada hari ini sebenarnya lebih merupakan satu amanah besar yang perlu dilaksanakan dengan keikhlasan, kejujuran dan sepenuh hati. Saya selalu berdoa agar Allah SWT terus menetapkan hati saya untuk terus berjuang di atas landasan ini. Semoga semua Francaisi dan Perunding Wasiyyah Shoppe juga mempunyai iltizam yang sama. Perjuangan baru bermula wahai sahabatku. Bangunlah, bangkitlah dan jangan biarkan orang bukan Islam menerajui ilmu-ilmu Allah SWT ini. Marilah berjuang bersamaku...