Tuesday, December 23, 2008

Wasiyyah terima ANUGERAH FRANCAISOR HARAPAN TERBAIK.


Assalamualaikum WBT. Tahun 2008 sudah mulai melabuhkan tirainya. Jika diizinkan Allah SWT, kita akan melangkah pula ke tahun 2009 kurang seminggu dari sekarang. Menoleh ke belakang, saya bersyukur kepada Allah SWT kerana telah memberikan kekuatan kepada saya, adik saya Azrin, bapa saudara Sallehuddin, seluruh warga kerja Wasiyyah Shoppe, francaisi serta perunding kami untuk terus mengharungi industri ini dengan tegar.
Saya akui bukan sedikit tenaga yang telah dicurahkan dan bukan kepalang pengorbanan yang telah dilakukan bagi sampai ke tahap ini. Saya sendiri pernah dimakihamun, dicerca, difitnah malah dianiaya dan dikhianati sepanjang berjuang di dalam industri ini. Apabila menghadapi keadaan seperti ini, saya selalu bermuhasabah dan kesimpulan yang dapat saya buat ialah, apabila Allah SWT telah melorongkan saya ke jalan ini, Dia telah memilih saya untuk menjalankan satu amanah iaitu menyebarkan ilmu pewarisan harta ini secara efektif dan membantu umat Islam Malaysia merancang harta pusaka mereka mengikut kaedah Syariah. Amanah ini akan saya pegang dengan erat sehinggalah sampai waktunya saya meninggalkan dunia yang fana ini, Insya'Allah.

Cabaran dan ujian memang sentiasa mendatang tanpa henti-henti sehingga kadang-kadang hati terguris dan air mata menitis kerananya. Namun saya pasrah dan percaya Allah SWT hanya menguji hambanya dengan ujian yang boleh dilaluinya. Dia tahu saya kuat dan boleh mengatasinyan kerana itu ujian diberikan. Meminjam kata-kata hikmah seorang sahabat baik saya :

"Happy moments, praise ALLAH. Difficult moments, seek ALLAH. Quiet moments, worship ALLAH. Painful moments, trust ALLAH. Every moments, thank ALLAH."

Buktinya....

Pada 20 Disember 2008 yang lepas, Wasiyyah Shoppe telah menerima ANUGERAH FRANCAISOR HARAPAN TERBAIK MALAYSIA di Malam Anugerah Francais. Anugerah itu telah disampaikan oleh YB Dato' Noh Omar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD). Saya merasa amat terharu kerana apa yang diusahakan oleh Wasiyyah Shoppe selama ini mulai mendapat pengiktirafan dari kerajaan.

Wasiyyah Shoppe berjaya mendapatkan lesen francais dari Kementerian selepas 2 tahun saya berulang-alik ke Putrajaya meyakinkan mereka betapa apa yang Wasiyyah Shoppe lakukan berpotensi untuk dimajukan sebagai satu cabang keusahawanan yang berpotensi. Selepas bekerja keras akhirnya kami mendapat kelulusan tersebut pada 11hb Mac 2008. Sungguh tidak saya duga dengan rekod francais 8 bulan sahaja, Wasiyyah Shoppe terpilih sebagai Francaisor Harapan mengatasi francaisor lain yang mempunyai rekod francais bertahun-tahun lamanya.

Malam menerima anugerah itu, saya tidak dapat tidur sehingga pukul 3 pagi. Sujud syukur dan kesyukuran yang dipanjatkan kepada Allah SWT tidak terhingga dan pada saya Allah SWT telah membuktikan rahmah dan kasih sayangnya kepada Wasiyyah Shoppe. Tidak ketinggalan saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua warga kerja, francaisi dan perunding Wasiyyah Shoppe yang telah bersama-sama 'through thick and thin'

Apakah kesan anugerah itu kepada industri ? Kesannya amat besar dan signifikan sekali. Kini kita boleh berbangga kerana industri yang empat tahun dulu hampir tidak kedengaran kewujudannya kini telah diiktiraf oleh Kerajaan.

Apa pula kesannya kepada Wasiyyah Shoppe ? Kesannya tentu amat signifikan juga. Wasiyyah Shoppe hari ini diiktiraf sebagai ORGANISASI KEUSAHAWANAN NOMBOR SATU di Malaysia di dalam industri ini. Mungkin ada pemain lain dalam industri yang sama tetapi hanya Wasiyyah Shoppe sahaja yang diiktiraf oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD).

Sehubungan dengan itu, saya mempelawa sesiapa sahaja individu Islam di luar sana yang berhajat untuk bersama-sama kami di dalam perjuangan ini untuk menghubungi Pengurus Francais saya, En Sallehuddin di 03-6250 9573 atau 016-2624554 bagi mendapatkan maklumat bagaimana kita boleh membantu umat Islam dan dalam masa yang sama mendapat pendapatan yang lumayan darinya.

Insya'Allah bertemu lagi di ruangan yang sama pada masa akan datang.






No comments: