Friday, April 3, 2009

UJIAN SEORANG PEJUANG

Assalamualaikum WBT , lama sungguh saya tidak mengemaskini blog ini. Bukan tidak sudi tetapi hambatan tanggungjawab, amanah dan tugasan yang sungguh banyak menyebabkan masa agak terbatas untuk mengisi blog ini.
Saya seorang ayah kepada 3 orang anak perempuan yang semuanya sudah bersekolah berumur 6 tahun, 10 tahun dan 14 tahun. Di celah-celah kesibukan memenuhi program ceramah dan aktiviti perniagaan di seluruh Malaysia, isteri saya yang tercinta admitted ke hospital kerana disyaki menghidap ketumbuhan.
Ketika saya menerima panggilan telefon itu, saya berada di Ipoh kerana program Wasiyyah Shoppe di sana. Pada keesokan harinya pula, saya sepatutnya berada di Temerloh pula kerana satu lagi program Wasiyyah Shoppe. Saya bergegas pulang ke KL dari Ipoh dan menziarah isteri saya di hospital.
Walau hati gundah gelana kerana isteri tidak sihat, saya gagahkan diri saya untuk ke Temerloh pada keesokan harinya. Isteri saya yang solehah juga redha dengan kepergian saya walaupun dia ketika itu sedang menanggung kesakitan. Di dalam hati, saya sematkan bahawa apa yang saya lakukan ini adalah semata-mata kerana Allah SWT dan semoga Dia memberi keberkatanNya kepada kami sekeluarga. Saya yakin dan percaya bahawa apa yang saya lakukan ini adalah kerja dakwah dan bila Allah SWT melorongkan saya ke jalan ini, ia bermakna Dia ada sesuatu ganjaran yang istimewa untuk saya dan keluarga saya, Insya'Allah.
Bila isteri saya terlantar di hospital, saya terpaksa memainkan tiga peranan serentak. Sebagai seorang ayah, ibu dan CEO kepada organisasi. Di rumah saya perlu memastikan segala keperluan anak dipenuhi. Di pejabat pula menanti tanggungjawab besar sebagai peneraju organisasi. Bayangkan betapa 'bersilatnya' saya kerana terpaksa memenuhi segala tanggungjawab ini namun saya redha.
Pada hari Isnin 30hb Mac 2009, isteri saya menjalani pembedahan. Saya berkampung di hospital semenjak dari pagi tetapi laptop teman setia saya tetap saya 'godek' sementara menunggu isteri saya keluar dari bilik pembedahan.
Pukul 7 petang isteri saya disorong keluar dari bilik pembedahan. Sambil menguntum senyuman yang sentiasa berjaya menawan hati saya semenjak dari zaman sekolah sehinggalah sekarang (Isteri saya ialah classmate saya semenjak tingkatan 3), dia mengangkat ibu jari tanda 'ok' menandakan segalanya berjalan dengan baik.
Namun sebaik sahaja masuk ke wad, dia pengsan dan tekanan darahnya menjunam ke paras 70 / 50. 3 orang doktor dan 5 orang nurse bertungkus-lumus cuba menyelamatkan nyawanya. Saya cemas dan berdoa agar Allah SWT melindungi isteri saya. Selama hampir 1 jam mereka berusaha keras menyelamatkan isteri saya dengan segala peralatan ecg dan entah apa lagi dipasang hampir di keseluruhan tubuhnya. Saya hanya mampu melihat, berdoa dan dalam masa yang sama tawakkal dengan ketentuan Allah. Sedih hati tidak kepalang apabila melihat tubuh isteri saya terkulai lemah. Doktor memberitahu bahawa isteri saya mengalami 'post operation shock' dan keadaannya tidak stabil.
Sepanjang malam itu, 2 kali lagi kejadian yang sama berulang. Saya tidak mampu tidur malam itu dan saya habiskan masa saya mengaji dan bermunajat memohon kepada Allah agar memanjangkan umurnya. Namun saya pasrah jika Allah mengambilnya pulang.
Berita mengenai isteri saya sampai dengan cepat kepada francaisi dan penggerak Wasiyyah Shoppe di seluruh Malaysia. Beratus-ratus SMS saya terima ucapan doa dan selamat dari mereka. Untuk segala doa dan ucapselamat, saya ucapkan jutaan terima kasih. Allah sahajalah yang membalas jasa baik kalian.
Selepas dua hari, keadaan isteri saya semakin stabil. Dia sudah boleh mula berbual dan kembali menguntumkan senyuman. Allah sahajalah yang tahu rasa kesyukuran di dalam hati. Ketika bermuhasabah, saya terfikir semula bahawa inilah sebenarnya ganjaran yang Allah SWT selepas dia memberikan saya ujian yang hebat.
Diberikannya dua pilihan sama ada saya ingin menunggu isteri di hospital atau saya pergi ke Temerloh memenuhi amanah yang telah diberikan. Saya memilih untuk meninggalkan isteri dan menjalankan amanah saya. Sebagai ganjarannya....... Allah SWT telah memanjangkan umur isteri saya agar saya boleh terus menyayanginya sepenuh jiwa raga saya juga Kerana Allah SWT.
Ya Allah, hambaMu ini kerdil dan lalai. Berikanlah aku kekuatan untuk meneruskan perjuanganku menegakkan Sunnah RasulMu. Kurniakanlah hidayahMu kepada aku yang sering terlupa ini. Aku redha atas segala ujian yang Kau berikan padaku. Sesunggunya Engkaulah yang Maha Berkuasa dan kepadaMu aku berserah, Amin amin Ya Rabbal Alamin.