Sunday, May 16, 2010

Sampai bila kita akan begini ?

Saya baru balik dari menghadiri konvensyen usahawan bumiputera dan antara agenda terpenting yang dibincangkan ialah mengenai Model Ekonomi Baru ( MEB ). Pada pandangan peribadi saya, masa depan kelihatannya 'tidak begitu cerah' bagi orang Melayu Islam seperti saya dan anda juga (jika anda seorang Melayu) apabila model ini dilaksanakan kelak. Dam membawa Malaysia ke ekonomi berpendapatan tinggi USD 15,000 / annum, ciri utama MEB ini ialah ia dipacu oleh pasaran ( market led ). Siapakah 'pasaran' itu ? Pastinya ia adalah pihak swasta. Dan siapakah pula pihak swasta ini ? Pastinya ia dipacu oleh usahawan ( businessman ). Dan siapakah pula usahawan yang menguasai ekonomi Malaysia hari ini dan juga masa akan datang ? Tepuk dada tanya iman, buka mata dan tolehlah di sekeliling kita...pasti kita akan ketemu jawapannya.
Namun apa yang lebih menyedihkan ialah kerana sudahlah penguasaan ekonomi kelihatannya semakin meninggalkan kita, politik kita juga cerca-merba malah lebih buruk lagi, wujud ramai si kitul di kalangan kita. Ada orang kita sendiri yang sanggup bersusah-payah cuba memusnahkan organisasi keusahawanan milik orang kita juga. Cakaplah apa sahaja kepada golongan ini bahawa kita bekerja Kerana Allah SWT dan Dialah yang akan memberi kita sebaik-baik ganjaran, bagi golongan si kitul ini, itu semua tidak penting. Yang penting ialah mereka akan kaya-raya dan hidup mewah. Yang menguasai minda dan fikiran mereka bukanlah kepentingan bangsa dan agama tetapi sebaliknya kepentingan diri mereka sendiri.
Sehinggakan kadang2 saya mengurut dada dan beristighfar kerana tidak percaya seorang Islam yang mengucap kalimah Syahadat 5 kali sehari sanggup turun ke tahap yang begitu rendah sekali ! Sedarlah wahai bangsaku. Apa yang mesti kita lakukan sekarang ialah merapatkan ukhwah dan memantapkan barisan. Kepentingan bangsa dan agama mesti mengatasi kepentingan peribadi. MEB memberikan cabaran baru kepada kita. Lanskap ekonomi, politik dan sosial telahpun berubah dan kita mesti bekerja kuat untuk menyesuaikan diri. Jika kita masih berpecah-belah dan dengki-mendengki, kita akan rebah dan pupus seperti pupusnya dinosaur satu ketika dulu.....renungkan....bersatu atau pupus, pilihan di tangan kita.