Sunday, June 13, 2010

Betul ke Wasiat membantu waris ?

Baru-baru ini saya bertemu seorang sahabat lama yang telah kematian bapa. Semasa hidup bapanya telah membuat wasiat dan melantik wasi bagi harta pusakanya. Sahabat ini memberi komen bahawa walaupun bapanya telah membuat wasiat, ia tidak banyak membantu mereka sebagai waris. Mereka masih perlu hadir ke pejabat syarikat amanah yang dilantik pada hari bekerja dan terpaksa mengambil cuti kerana adik-beradiknya berada di seluruh Malaysia. Mereka juga difahamkan bahawa harta pusaka itu akan ditolak dengan pelbaga caj-caj pentadbiran proses pusaka sedangkan dia diberitahu oleh rakan yang lain bahawa jika mereka adik-beradik pergi terus ke Pejabat Pesaka Kecil ( Kerana harta ayahnya hanyalah sekitar RM 800,00o sahaja ) caj yang dikenakan oleh Pejabat Pesaka Kecil adalah jauh lebih murah. Jadi dia bertanya kepada saya, kenapa orang kata jika wasiat telah disediakan , ia akan memberi banyak manafaat kepada waris ?
Saya hanya mampu tersenyum kerana itulah sebenarnya hakikat yang berlaku kepada majoriti orang yang membuat wasiat hari ini ! Dengan membuat wasiat mereka bukannya membantu waris-waris malah dalam banyak keadaan, mereka meletakkan waris-waris mereka dalam masalah yang lebih besar berbanding dengan jika mereka tidak membuat wasiat. Waris-waris perlu membayar fi yang mahal dan proses yang lebih panjang masanya.
Saya sebenarnya dah letih bercerita dengan orang Islam di Malaysia bahawa hanya 2 kategori orang Islam sahaja yang memerlukan wasiat iaitu orang Islam yang hartanya melebihi RM 2 juta ( kes dibicarakan di Mahkamah Tinggi Sivil dan wasiat diperlukan bagi tujuan perlantikan wasi ) serta orang Islam yang berhasrat untuk mengagihkan maksima 1/3 dari harta pusakanya kepada bukan waris bagi tujuan amal jariah. BUKAN SEMUA ORANG ISLAM PERLUKAN WASIAT !
Tapi nak buat macamana sebab hari ini, bila buat loan rumah atau personal loan , kita 'dipaksa' menandatangani wasiat. Wasiat itu telah digeneralisasikan sebagai satu dokumen yang wajib untuk dibuat untuk semua orang Islam. Saya sendiri pernah bertanya kepada seorang pengurus bank dengan soalan asas iaitu 'APA ITU WASIAT' dan dia sendiripun tidak tahu sedangkan cawangannya 'menjual' sehingga 100 wasiat sebulan !
Saya boleh simpulkan bahawa Wasiat hari ini adalah satu dokumen yang paling 'misrepresented' di dalam pasaran. Dimana-mana orang membuat wasiat tetapi mereka sendiri tidak tahu apa itu wasiat. Itulah sebabnya saya selalu menasihatkan penggerak di dalam industri, jika mereka ingin menjual wasiat, pastikan dahulu kedudukannya di dalam undang-undang Sivil dan Syariah supaya orang Islam tidak terus terkeliru.
Paling mengharukan ialah apabila sahabat lama saya yang mempunyai pengalaman kurang baik mengenai wasiat ini terus membuat kesimpulan, 'BAIK TAK PAYAH BUAT APA-APA DOKUMEN SEBAB ADA WASIATPUN MENYUSAHKAN SAJA!'
Sedangkan perancangan harta dalam Islam itu sangat luas dengan instrumen yang pelbagai seperti Hibah, Harta Sepencarian, Amanah, Wakaf dan sebagainya. Wasiat sememangnya mempunyai peranan yang sangat terhad kepada orang Islam. Wallahualam.....