Tuesday, October 21, 2008

Apa sebenarnya peranan kita sebagai Perunding Pewarisan Harta Islam ?

Ramai orang bertanya saya, apakah sebenarnya peranan yang kita mainkan sebagai Perunding Pewarisan Harta Islam ? Pada saya, peranan kita yang paling besar ialah untuk berdakwah dengan menyebarkan maklumat yang tepat kepada masyarakat. Sebab itulah seseorang yang menggelarkan dirinya sebagai Perunding Pewarisan Harta Islam mesti rajin belajar.


Gambar ini menunjukkan perbincangan intelektual serius di antara saya, Prof Madya Ridzuan Awang, Prof Madya Dr Hashim Mehat dan Prof Madya Dr Siti Zalikhah sedang berbincang tentang 'Wasiat Wajibah' yang diperuntukkan di dalam Enakmen Wasiat Selangor 1999.


Pada pandangan saya, seorang Perunding Pewarisan Harta yang menjual produk pewarisan seperti wasiat dan sebagainya, perlu faham dengan jelas peruntukan undang-undang berkaitan di dalam Kanun Tanah Negara 1965, Akta Pesaka Kecil 1955, Akta ARB 1995, Akta Wasiat 1959, Akta Probet dan Pentadbiran 1959, Enakmen Pentadbiran Keluarga Islam negeri-negeri dan ilmu-ilmu berkaitan seperti Hukum Wasiat, Hukum Hibah, Harta Sepencarian dan sebagainya.


Apabila kita sudah menguasai ilmu-ilmu ini dengan baik, barulah kita boleh memberikan maklumat tepat kepada masyarakat. Hari ini, saya dapati ada ramai 'perunding' di luar sana yang menyebarkan maklumat kurang tepat dengan mengatakan semua orang Islam memerlukan wasiat untuk menjamin kebajikan waris sedangkan bagi orang Islam, wasiat ialah dokumen untuk beramal jariah bagi memberikan takat maksima 1/3 dari harta pusakanya kepada bukan waris. Mereka bercakap mengenai kebajikan waris tetapi bila mereka menyediakan wasiat, wasiat mereka hanyalah wasiat yang menyatakan tentang perlantikan dan tanggungjawab wasi sahaja.


Di Konvensyen Kebangsaan Harta Pusaka, Wasiat dan Wakaf di Terengganu baru-baru ini, penceramah dari Pejabat Pesaka Kecil telah menjelaskan bahawa wasiat yang melantik wasi bagi kes-kes di bawah bidang kuasa Pejabat Pesaka Kecil tidak berkuatkuasa secara otomatik. Semasa bicara kuasa, waris-waris tetap akan ditanya sama ada mereka bersetuju dengan wasi yang telah dilantik di dalam wasiat itu dan sekiranya mereka tidak bersetuju, mereka boleh melantik wasi di kalangan mereka. Jadi, timbul satu persoalan asas.


Sekiranya wasiat yang melantik wasi tidak berkuatkuasa secara otomatik di Pejabat Pesaka Kecil, kenapa pula kita hendak membuat wasiat sebegini dan membayar beberapa ratus ringgit untuknya ? Jawapan saya mudah sahaja. Kenapa pula buat wasiat ?


Sebab itulah, Francaisi dan Penggerak Wasiyyah Shoppe telah dilatih melalui 22 modul latihan komprehensif yang meliputi semua akta dan enakmen berkenaan kerana di Wasiyyah Shoppe , kami amat prihatin kepada penyebaran maklumat yang telus dan tepat kepada pelanggan.


Inilah sebenarnya peranan terbesar yang mesti dimainkan oleh seorang yang bergelar Perunding Pewarisan Harta Islam. Ilmu yang kita miliki ini sebenarnya adalah satu amanah yang mesti disebarkan secara bertanggungjawab bukan sekadar kerana hendakkan keuntungan tetapi lebih besar lagi dari itu ialah untuk membantu orang Islam merancang harta pusaka mereka melalui kaedah Syariah yang tepat.


'Result' akhir yang kita ingini ialah selepas pelanggan ini meninggal dunia, institusi keluarga mereka akan kekal kukuh dan anak-anak akan berterima kasih serta tidak lupa berdoa untuk roh allahyarham ayah dan ibu kerana telah mewariskan mereka harta pusaka dengan cara yang paling mudah, Wallahualam.