Tuesday, October 21, 2008

Rombongan Wasiyyah Shoppe ke Terengganu.

Salam. Letih badan rasanya selepas tiba ke KL dari Terengganu pada 20.10.2008 yang lepas. Namun demikian saya juga rasa seronok kerana bersama-sama dengan 29 orang Francaisi dan penggerak Wasiyyah Shoppe, kami telah berjaya melaksanakan misi belajar ke Konvensyen Kebangsaan Pengurusan Harta Pusaka, Wasiat dan Wakaf anjuran Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam UKM di Taman Tamaddun Islam dari 18-19 Oktober lepas.

Saya sangat seronok kerana dapat bertemu dengan ramai sahabat-sahabat saya yang terdiri dari ilmuwan dan 'practitioner' di dalam bidang perancangan harta secara Syariah seperti Prof. Madya Ridzuan Awang, Prof Madya Dr Hashim Mehat, Prof Madya Datin Dr Siti Zalikhah Md Nor, Tn Hj Sulaiman Kadimi ( Pengarah Pesaka Kecil Pahang ), Tn Hj Ahmad Faizal Mohammed ( Majlis Agama Islam Johor ), Ustaz Abd Halem Hafidz ( Majlis Agama Islam Selangor ), pegawai-pegawai Majlis Agama Islam negeri-negeri dan ramai lagi yang lain. Mereka ini sebenarnya adalah muka-muka biasa yang saya temui sepanjang tahun di pelbagai konvensyen, bengkel dan seminar harta pusaka Islam. Setiap kali kami bertemu, kami akan mengambil kesempatan ini untuk mengadakan perbincangan intelektual membicarakan isu-isu terbaru di dalam industri ini.

Sepanjang konvensyen berlangsung, saya juga rasa sangat berbangga kerana Francaisi dan penggerak Wasiyyah Shoppe telah menjadi peserta yang aktif bertanya soalan dan melibatkan diri di dalam perbincangan ilmiah. Diskusi dan perdebatan mengenai Wakaf, Wasiat Wajibah, konflik undang-undang Sivil dan Syariah dan Peranan sebenar wasiat di dalam pengurusan harta pusaka orang Islam adalah antara topik yang sangat menarik perhatian kami.

Di dalam konvensyen ini juga, salah seorang pembentang kertas kerja telah memberikan satu fakta yang memeranjatkan. Lebih dari 80,000 orang Islam di Malaysia yang telah membuat wasiat yang kandungannya hanya menceritakan tentang perlantikan wasi , wasiat mereka berkemungkinan besar tidak boleh dipakai di dalam bicara kuasa ! Semua peserta konvensyen terlopong mulutnya !

Wasiyyah Shoppe ialah organisasi yang berteraskan ilmu. Seorang Francaisi atau penggerak Wasiyyah Shoppe itu telah dilatih dan dibentuk untuk menjadi seorang Muslim yang sentiasa cintakan ilmu yang berkaitan dengan industri. Walau jauh mana sekalipun tempat yang harus dituju, kami tetap akan ke sana selagi ada ilmu tentang industri yang kami perlu pelajari.

Kerana itulah pada hari ini di dalam industri, Francaisi dan penggerak Wasiyyah Shoppe memegang reputasi sebagai seorang profesional yang berpengetahuan luas mengenai ilmu pewarisan harta pusaka Islam dan kami dihormati oleh masyarakat. Kami sentiasa memegang pendirian bahawa apa yang kami lakukan ini sebenarnya adalah jauh lebih besar dari sekadar satu perniagaan. Ia sebenarnya adalah satu ibadat fardhu kifayah yang perlu kami perjuangkan dengan sepenuh jiwa dan raga.

Saya selalu katakan kepada Francaisi dan penggerak Wasiyyah Shoppe, seandainya Allah SWT mengambil nyawa kita pada hari ini, kita akan memejam mata dengan puas kerana kita tahu apa yang kita lakukan hari ini adalah salah satu dari amalan yang tidak akan putus dari seorang anak adam selepas kematiannya iaitu menyebarkan ilmu yang bermanafaat.

Semoga Allah SWT akan sentiasa memberkati segala usaha kita, Amin.