Wednesday, October 22, 2008

CABARAN SEORANG PERUNDING PEWARISAN HARTA ISLAM.


Assalamualaikum WBT. Saya telah berkecimpung di dalam industri perancangan dan pengurusan harta pusaka secara Syariah hampir 10 tahun. Pelbagai pengalaman pahit manis telah dilalui. Bukan sedikit pengorbanan yang telah dibuat dan bukan kepalang tenaga telah dicurahkan. Sepanjang tempoh itu juga, saya perhatikan banyak syarikat yang telah buka dan juga telah menutup operasinya. Apabila orang melihat Wasiyyah Shoppe berkembang dengan drastik semenjak 2004, ramai berpendapat bahawa industri ini sangat menarik dan mereka juga patut menceburinya.

Industri ini memang nampaknya dari luar seakan mudah untuk dibuat. Seolah-olahnya macam sesiapapun boleh membuka syarikat perancangan harta dan menggelarkan diri mereka Perunding Pewarisan Harta. Tetapi cubalah tanyalah mana-mana CEO atau MD syarikat seperti ini dan mereka pasti akan mengeluh betapa sukarnya untuk meyakinkan orang Islam menyediakan dokumen perancangan mereka.
Inilah antara cabaran yang dihadapi oleh seorang Perunding Pewarisan Harta Islam. Kita mungkin terpaksa menghabiskan masa berjam-jam untuk menerangkan isu harta pusaka kepada prospek kita tetapi akhirnya gagal 'close' prospek itu. Kalau berjaya pun , prospek mungkin akan 'sign' wasiat yang cajnya hanya beberapa ratus ringgit sahaja. Cuba tanya diri kita sendiri, adakah usaha kuat yang telah kita curahkan itu berbaloi dengan komisen yang hanya 'ciput' sahaja ? Itulah sebabnya industri ini gagal berkembang.
Ramai penggerak industri ini pula terdiri dari perancang kewangan seperti ejen takaful, insuran, saham amanah dan hartanah. Perancangan harta pusaka ini sememangnya dianggap sebagai 'downstream' kepada perancangan kewangan. Namun dari pengalaman peribadi, saya dapati agak sukar ( walaupun ada! ) perancang kewangan seperti ini untuk menguasai ilmu di dalam perancangan harta pusaka. Bayangkan mereka terpaksa bekerja kuat untuk meyakinkan pelanggan tetapi selepas itu hanya mendapat beberapa ratus ringgit sahaja sebagai komisen. Atas sebab itu mereka enggan aktif dan menumpukan sepenuh perhatian kepada industri ini kerana mereka boleh mendapat pendapatan yang lebih lumayan dari apa yang sedang mereka lakukan sekarang.
Selain dari cabaran itu, saya juga sering berhadapan dengan pelbagai tohmahan dan fitnah. Apa yang menyedihkan, tohmahan ini datang dari pemain industri yang penggeraknya adalah orang Islam juga. Malah ada antara mereka merupakan bekas 'anak didik' Wasiyyah Shoppe yang telah kami perkenalkan kepada industri ini. Ada yang bila berceramah mengatakan Wasiyyah Shoppe telah tutup kedai sedangkan kita semakin kukuh sejak berdaftar sebagai Francaisor dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi ( MECD ) .
Ada juga yang menyebarkan fitnah bahawa dokumen yang dibuat oleh Wasiyyah Shoppe tidak sah sedangkan kita telah mendapat 27 perintah penghakiman dari Mahkamah Syariah yang mengesahkan bahawa dokumen kita adalah SAH MENGIKUT HUKUM SYARAK dan lebih dari 50 kes harta pusaka telah berjaya diselesaikan dengan yang tercepat berjaya diselesaikan dalam masa 2 bulan sahaja !
Kemungkinan sudah menjadi sifat semulajadi kita sebagai orang Melayu yang kaya dengan PhD ( Perasaaan hasad dengki ). Saya cukup hairan kenapa Wasiyyah Shoppe menjadi sasaran tohmahan dan fitnah sedangkan ada banyak syarikat dan institusi kewangan milik orang bukan Islam yang menjual dokumen yang tidak sah diperlakukan di Pejabat Pesaka Kecil atau Mahkamah Syariah sendiri , tetapi tidak 'diserang'.
Kepada yang bersikap seperti ini, pesanan saya hanyalah satu. Kita sebenarnya berjuang untuk objektif yang sama iaitu untuk membantu umat Islam dan berdakwah. Kenapa kita hendak menyerang satu sama lain? Saya faham ini adalah satu perniagaan tapi marilah kita bersaing secara sihat. Mari kita ceritakan kepada prospek apa kelebihan dan keistimewaan kita tanpa memburuk-burukkan pesaing. Kita kena ingat bahawa pelanggan adalah seorang yang bijaksana dan mereka pandai membuat pilihan berdasarkan kehendak dan keperluan mereka.
Ini juga merupakan antara cabaran paling besar yang saya hadapi sebagai Perunding Pewarisan Harta namun saya pasrah. Allah SWT telah memberikan saya peluang untuk berkhidmat kepada umat Islam melalui industri ini dan saya tidak akan mensia-siakannya. Malah saya bertekad untuk mendedikasikan keseluruhan umur saya di dalam industri ini. Ini adalah satu amanah dan saya akan melaksanakannya sepenuh jiwa dan raga.