Wednesday, September 9, 2009

MENGEJAR LAILATUL QADAR

Salam Ramadhan. Hari ini kita memasuki 20 Ramadhan.Perasaan bercampur-baur di antara seronok dan sedih. Seronok kerana ini bermakna pencarian untuk Lailatul Qadar telah bermula. Malam ini kita akan menghiasi malam dengan Tadarus, Sunat Tahjud, Sunat Hajat, Sunat Taubat, Sunat Tasbih dan pelbagai ibadat yang lain. Airmata keinsafan dan taubat akan mengalir dengan mudah malam ini mengharapkan Ihsan Allah SWT. Semoga Dia memandang kita dengan penuh kasih sayang dan melimpahi rahmatNya.

Sedih pula kerana ini bermakna Ramadhan sudah hampir sampai ke penghujungnya. Rasanya belum puas beribadat dan memohon keampunan malah diri ini rasa penuh dengan dosa dan kesalahan yang masih belum terampun sepenuhnya. Fasa maghfirath telah berakhir dan semoga Allah SWT membuka pintu syurganya untuk kita di 10 hari terakhir ini.

Sama ada kita akan bertemu lagi dengan Ramadhan yang akan datang atau tidak, hanya Allah SWT sahajalah yang mengetahuinya.

Doa yang sentiasa saya lafazkan, Ya Allah Ya Tuhanku, berikanlah aku kekuatan untuk terus berjuang di atas landasan ini. Janganlah Engkau tinggalkan aku selepas Engkau memberikan aku hidayah. Sesungguhnya aku mahu mati hanya di atas landasan ini, Amin Amin Ya Rabbal Alamin.