Tuesday, September 1, 2009

CABARAN RAMADHAN


Bulan Ramadhan tiba lagi. Kita semua bersyukur kepada Allah SWT kerana diberikan peluang bertemu lagi dengan bulan yagn penuh keberkatan ini. Tahun ini Ramadhan memberikan cabaran yang agak berbeza kepada saya berbanding tahun-tahun yang lepas. Jika tahun-tahun yang lepas saya mempunyai banyak peluang untuk bersama isteri dan anak-anak berbuka puasa, berterawih di masjid qariah saya, bersahur dan menjalani ibadah puasa di Kuala Lumpur, tahun ini lebih mencabar.

Sehingga 10 Ramadhan, saya hanya berpeluang untuk berpuasa 2 hari sahaja di Kuala Lumpur. Pada hari-hari yang lain ( 7 hari seminggu ) saya bermusafir ke Kemaman, Kota Bharu dan Kuala Terengganu kerana program-program yang diatur oleh sahabat francaisi dan perunding Wasiyyah Shoppe. Bersahur di hotel bukanlah satu pengalaman yang menarik. Memandu di dalam panas terik beratus-ratus kilometer dalam keadaan mengantuk bukanlah satu situasi yang menyeronokkan walaupun pemandangan pemanduan di sepanjang pantai negeri Terengganu memang menyegarkan. Saya mencatit odometer kereta saya dan saya dapati saya telah bermusafir 2700 km dalam tempoh 6 hari bermusafir !

Ramai orang bertanya saya, tak penatkah melalui semua aktiviti ini dalam bulan Ramadhan. Saya tidak akan berbohong…..ia memang amat memenatkan. Tapi saya komited . Ramai juga yang bertanya apa yang ‘drive’ saya untuk bekerja 7 hari seminggu tanpa henti dalam bulan Ramadhan ini ?

Jawapan saya mudah sahaja. Saya telah dikurniakan Allah SWT dengan peluang untuk berbakti kepada ummah melalui kerja ini. Saya telah dilimpahi dengan rahmatNya apabila dia mempertemukan saya dengan ramai ilmuwan-ilmuwan berpengalaman dalam isu pewarisan di Malaysia. Prof Madya Ridzuan Awang ( UKM ) , Prof Dr Islami Abu Hassan ( UIA ) , Tn Hj Abdullah Mohammad ( Pesaka Kecil Persekutuan ), Tn Hj Sulaiman Kadimi ( Pesaka Kecil Pahang) dan rakan-rakan peguam syariah dan sivil. Semuanya banyak menyumbang idea dan buah fikiran bernas bagaimana untuk membantu orang Islam di Malaysia mengatasi isu cabaran harta pusaka.

Kerana itu saya berpegang kuat kepada pendirian bahawa apa yang saya lakukan ini adalah satu AMANAH yang akan saya pegang dengan kukuh sehingga saya menghembuskan nafas saya yang terakhir. Pada orang lain ini mungkin satu perniagaan tetapi pada saya ini adalah satu PERJUANGAN menegakkan Sunnah Rasulullah SAW.

Tidak ada apa yang memberikan lebih kepuasan dalam kehidupan ini melainkan melihat betapa hasil kerja kuat saya selama bertahun-tahun membantu orang Islam merancang harta pusaka mereka telah membolehkan anak-anak yatim yang ditinggalkan mendapat harta pusaka arwah ayah / ibu mereka dengan cepat dan tidak membebankan dari segi kos. Ini satu ibadat FARDHU KIFAYAH.

Setiap pagi apabila celik dari tidur, saya bersyukur kepada Allah SWT kerana menghidupkan saya satu hari lagi bagi terus berdakwah menyebarkan ilmu pewarisan harta secara Syariah . Inilah yang ‘drive’ saya untuk terus bekerja tanpa mengenal penat-lelah dan jemu. Kerja inilah juga yang akan saya buat dengan bersungguh-sungguh sehingga ke ahir hayat saya, Insya’Allah..

No comments: