Hari ini keluar di akhbar seorang ulama menyaman seorang ulama kerana tuduhan yang dibuat atas beberapa isu. Bila saya baca berita seperti ini, hati saya meruntun kesedihan. Apalah nak jadi dengan umat Islam di Malaysia yang kebetulannya pula adalah berbangsa Melayu. Jika di kalangan ulama sendiri menunjukkan contoh kurang baik dengan berbalah sesama sendiri kerana isu-isu peribadi, ke mana pula umat yang marhain dan cetek ilmu seperti kita hendak berpaling dan mendapatkan nasihat ? Patutlah orang Islam di Malaysia hari ini menghadapi satu demi satu penghinaan dan akhirnya kelak, jika sesuatu tindakan konstruktif tidak diambil, umat Islam di Malaysia akan kehilangan dan tergadai segala-galanya. Ketika itu menangis air mata darah sekalipun tidak berguna....
Orang Melayu beragama Islam hari ini telah hilang jatidiri, maruah dan sense of purpose dalam kehidupan. Kita sanggup membunuh dan menjatuhkan saudara sesama Islam kita kerana tamakkan wang, harta dan kuasa. Kita sanggup memusnahkan organisasi yang dibina di atas asas dan dasar untuk membantu orang Islam kerana kita merasakan kita lebih pandai, cerdik dan berilmu. Malang sungguh nasib umatku. Di atas alasan kemodenan, keterbukaan, bergerak ke hadapan dan progresif kita sanggup membuat apa sahaja untuk memenuhi nafsu amarah, dendam dan dengki.
Alahai umatku...sedarlah di saat kita sesama Islam sibuk bunuh-membunuh, dengki-mendengki dan jatuh-menjatuhkan, musuh Islam sedang ketawa dan berseronok. Mereka gembira kerana mereka tidak perlu bekerja kuat untuk menewaskan orang Islam kerana orang Islam di Malaysia yang berbangsa Melayu memang telah diprogram untuk menjatuhkan satu sama lain. Kita memang suka self-destruct diri kita sendiri.
Alahai umatku...alangkah baiknya kalau masa, tenaga dan wang yang digunakan untuk berpolitik menjatuhkan sesama sendiri itu digunakan untuk bekerja keras dan fokus kepada perjuangan mendaulatkan Muammalat , memartabatkan ekonomi Islam dan membantu seberapa ramai orang Islam untuk berjaya ? Kekadang saya menangis di tengah ketenangan malam apabila mengenangkan cabaran yang Allah SWT turunkan kepada saya di dalam perjuangan ini. Begitu banyak halangan dan cabaran yang terpaksa dilalui dan yang lebih menyedihkan kerana halangan dan cabaran ini hadirnya dari individu yang bersyahadah yang mengaku tiada tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad SAW itu pesuruhNya.
Lupakah kita pada janji-janji Tuhan bahawa perjuangan kejalanNya pasti akan menempa kejayaan ? Lupakah kita bahawa sebaik-baik manusia di sisi Allah BUKANLAH yang terkaya, paling berkuasa, paling pandai berkata-kata atau paling pandai berpolitik, sebaliknya yang paling mulia di sisi Allah itu adalah orang yang paling bertakwa kepadaNya ?
Alahai umatku.....marilah kita bersama-sama betulkan nawaitu kita kembali. Bekerjasama dan bersatu-padu dalam perjuangan menegakkan Sunnah Rasulullah SAW dan mendaulatkan muammalatNya. Muhasabah diri, perbanyakkan zikir, kembali kepada Al-Quran dan mantapkan kembali fikrah yang mungkin telah lemah akibat dibuai badai nafsu amarah, dengki dan khianat. Ingatlah bahawa kita akan dipanggil balik pada bila-bila masa olehNya.
Jika kita dipanggil dalam keadaan kita sedang sibuk melayan nafsu amarah, dengki dan khianat, apakah yang boleh kita jawab kepadaNya. Tetapi jika kita dipanggil pulang dalam keadaan kita sedang fokus berusaha bersungguh-sungguh menegakkan Sunnah Rasulullah SAW dan mendaulatkan muammalatNya, saya percaya kita akan dapat menjawab segala persoalan Munkar Nakir dengan yakin dan tertib. Ingatlah, jika kita mengejar dunia, ia akan lari jauh dari kita tapi bila kita mengejar akhirat, dunia akan datang menyembah di kaki kita, Insya'Allah.