Wednesday, February 10, 2010

Isu pembangunan Kampung Baru

PM dah umumkan pelan pembangunan Kampung Baru KL. Maka ramailah orang yang memberi pelbagai komen mengenai cadangan pembangunan itu. Ada yang setuju dan tidak setuju ia dibangunkan. Saya juga mempunyai pengalaman berurusan dengan beberapa penduduk Kampung Baru. Sebenarnya saya menyokong penuh idea untuk pembangunan hartanah di Kampung Baru. Namun saya juga seperti kebanyakan orang merasakan pembangunan itu mestilah tidak akan merugikan pemilik asal tanah Kampung Baru. Dalam kita mengejar aruas permodenan, kita tidak boleh lupa bahawa 'pembangunan' di sini bukan bermaksud tanah itu dijual dan pemilik mendapat RM 4 juta bagi sekeping tanah seperti yang digembar-gemburkan. 'Pembangunan' di sini mestilah membawa makna tanah itu 'dinaiknilaikan' ( upgrade value ) dan pemilik masih memiliki pegangan di dalam pembangunan itu dengan nilai yang lebih dari RM 4 juta yang asal.
Ini bermakna, pemilik asal masih memiliki hak ke atas hartanah itu dan dalam masa yang sama hak itu mempunyai nilai yang lebih tinggi dari sekarang. Walaupun saya tidak terlibat di dalam isu ini, namun saya berpandangan bahawa cadangan membina bangunan kondominium, pejabat dan shopping complex mega di situ tepat tetapi pemilik asal mestilah mendapat hak ke atas pembangunan itu contohnya pemilik mungkin diberikan 1 unit kondiminium, 1 unit lot kedai dan mungkin sedikit tunai. Jadi pemilik akan untung kerana mereka masih memiliki hartanah di situ, berpeluang berniaga dan dalam masa yang sama wang tunai diterima boleh dijadikan modal.
Kita kena ingat bahawa jika pembangunan ini hanya memberi pemilik tanah asal wang sahaja, ia tidak membawa nilai yang signifikan kerana orang kita bila dapat tunai, ia boleh dihabiskan dalam masa yang cukup cepat. Jadi, berikan mereka imbuhan di dalam bentuk ini. Bagi memastikan hartanah tersebut akan terus dipegang oleh generasi yang akan datang dan tidak dijual, satu Amanah ( Trust ) boleh dibentuk. Di dalam Amanah ini dinyatakan bahawa hartanah ini tidak boleh dijual tetapi perlu diusahakan oleh waris-waris pemilik tanah dengan hasilnya dimasukkan ke dalam satu akaun amanah khas ( selepas ditolak gaji pengurus ) dan waris-waris lain boleh mendapat manafaat dari akaun itu seperti untuk tujuan pelajaran, kesihatan atau kebajikan.
Secara tidak langsung, kita akan masih ada orang Melayu yang tinggal di kondominium mewah dan berniaga di kompleks mega di tengah Kuala Lumpur. Hartanah itu juga akan kekal menjadi milik generasi berikutnya. Kesan kepada implimentasi strategi ini ialah nilai ekonomi orang Melayu akan meningkat, Kampung Baru akan dapat dibangunkan. Kerajaan gembira kerana potensi ekonomi Kampung Baru dapat dieksploit, pemilik tanah gembira kerana nilai hak mereka bertambah dan generasi akan datang juga seronok kerana mereka mempunyai hak ke atas hartanah yang paling berharga di Malaysia. Wallahualam

No comments: