Friday, February 5, 2010

Orang Melayu & Politik

Orang Melayu suka berpolitik. Semenjak dari zaman kesultanan Melayu Melaka lagi orang Melayu memang cukup suka mempolitikkan pelbagai perkara. Dari sekecil-kecil benda sehinggalah sebesar-besar perkara, semuanya kalau boleh dipolitikkan. Dari organisasi parti politik sehinggalah ke apa sahaja bentuk organisasi.Sekiranya ahli atau orang yang terlibat di dalamnya orang Melayu, maka politiklah kerjanya.
Saya tidak suka berpolitik. Saya bukan ahli politik dan tidak mungkin jadi ahli politik walaupun saya mempunyai kepercayaan politik tertentu. Semenjak dari zaman universiti lagi, pelbagai pihak baik pro-aspirasi mahupun pro-mahasiswa telah berusaha bersungguh-sungguh mengajak saya menyertai politik. Namun saya rasa i'm not cut to be a politician. Kenapa ? Kerana saya tidak suka bercakap buruk mengenai orang lain. Pastinya kalau kita berpolitik, ungkapan-ungkapan seperti , " Sipolan ni sebenarnya tamak, gila kuasa dan suka menindas orang lain.Itulah sebabnya kita kena tentang Sipolan ni habis-habisan. Orang macam ini tak layak jadi ketua. Sebaliknya engkorang pilihlah aku sebab aku akan memperjuangkan nasib engkorang habis-habisan kerana aku lebih faham apa yang engkorang lalui berbanding dengan SiPolan tu!"
Walau apapun faktanya benar atau tidak, tetapi jika saya jadi ahli politik, ungkapan seperti di atas tidak mahu tidak perlu saya keluarkan untuk menarik sokongan orangramai terhadap saya. Saya tak sanggup memakan daging saudaranya sendiri. Saya lebih suka berdiamdiri walaupun difitnah dan dikutuk kerana 'SAYA BUKAN AHLI POLITIK' .
Saya tidak pergi ke sana ke mari mencari pengaruh dan mengajak orangramai menyokong saya dan melawan sesuatu pihak. Saya hanyalah seorang insan biasa yang telah Allah SWT lorongkan untuk berjuang di dalam industri perancangan dan pengurusan harta pusaka secara Syariah. Allah SWT telah memberikan saya banyak kemudahan dengan mempertemukan saya dengan ramai bijak pandai ilmuwan di dalam bidang ini dan kebanyakan mereka dengan rela hati menyokong perjuangan saya dan percaya dengan apa yang saya buat. 17,000 pelanggan yang melanggan dengan Wasiyyah Shoppe juga adalah satu amanah besar yang saya galas di bahu dan akan saya jaga amanah ini sebaik mungkin sehingga ke penghujung nyawa saya. Tugas saya bukanlah untuk berpolitik. Tugas saya yang paling besar ialah untuk membantu seberapa ramai orang Islam yang boleh untuk merancang dan mengurus harta pusaka mereka mengikut kaedah Syariah.
Apa yang berlegar di fikiran saya apabila ada pihak mencerca dan mengutuk saya ? Pada saya biarlah mereka cakap apa yang hendak mereka katakan kerana mulut orang memang tidak boleh ditutup seperti mulut tempayan. Tapi saya juga tahu bahawa apabila saya difitnah dan dicerca, pahala mereka akan saya perolehi dan dosa saya pula akan mereka tanggung. Seronok juga betul tak ?
Penulisan saya di dalam blog ini memang sengaja saya juruskan kepada kritikan sosial kepada semua orang terutamanya kepada orang Melayu beragama Islam. Ada orang yang boleh terima kritikan saya tetapi ramai juga yang tak larat nak baca. Truth's hurt. Saya hairan, orang kita lebih suka bertindak untuk memusnahkan organisasi yang dibina oleh orang Islam sendiri atas dasar hasad dengki, khianat dan sakit hati. Mereka akan bertepuk tangan dan bergembira apabila organisasi milik orang Islam musnah dan runtuh akibat api amarah dan nafsu mereka. Tapi dalam masa yang sama mereka bersungguh-sungguh menyokong organisasi milik orang bukan Islam ! Kata mereka organisasi milik orang bukan Islam lebih 'efisien', 'telus' dan 'ikhlas' (Ikhlas?). Kerana itu mereka lebih seronok bekerja dengan organisasi milik bukan Islam.
Memang benar, dalam berorganisasi tiada satupun organisasi di dunia ini yang sempurna. Tetapi kita kena melihat objektif penubuhan organisasi itu. Jika objektifnya keuntungan maka segala apa yang mereka lakukan adalah bermotifkan keuntungan. Janganlah ada orang memberitahu saya bahawa organisasi milik orang bukan Islam ini beroperasi kerana 'Lillahitaala'. Tidak akan sama orang yang bersyahadah dengan orang yang tidak bersyahadah dari aspek ini.
Jadi wahai orang Islam berbangsa Melayu, lupakanlah seketika semangat berpolitik anda dan marilah kita rapatkan saf dan bersatu. Fokuskan segenap usaha dan tenaga kita kepada amanah yang ada di hadapan kita iaitu untuk memartabatkan Muammalat dan menegakkan Sunnah Rasulullah SAW di dalam industri perancangan dan pengurusan harta pusaka secara Syariah. Kita mesti yakin dengan janji Allah kepada orang yang berjuang kearahNya. Insya'Allah kejayaan akan menanti kita.