Dalam perjuangan sentiasa ada cabaran. Kadang-kadang kita lupa bermuhasabah bahawa ujian yang datang itu sebenarnya ialah bukti kasih sayang Allah SWT kepada kita. Hari-hari kita mengeluh bahawa apa yang kita buat ini susah nak cari makan. Industri perancangan dan pengurusan harta pusaka secara Syariah sememangnya bukan satu industri yang mudah atau cepat kaya jika kita membuatnya. Ia satu industri yang penuh dengan cabaran kerana kita perlu mendidik masyarakat dengan sabar, tabah, istiqamah untuk mendapat hasilnya. Saya sendiri selalu difitnah, dicerca, dimakihamun malah diperkecilkan kerana membuat kerja ini. Arwah bapa saya sendiri pernah tidak yakin dengan usaha saya kerana dia tidak percaya seorang yang dilatih dalam pemasaran dan berpengalaman bekerja di bank seperti saya boleh membuat kerja yang lebih mirip kerja seorang peguam!
Namun saya tidak pernah patah semangat kerana walaupun industri ini ketika itu hampir tidak wujud, saya sangat percaya dengan strategi yang betul, industri ini boleh memberikan manafaat yang maksima kepada pengusaha dan masyarakat Islam sendiri. Itu sebabnya saya tidak pernah biarkan kata-kata negatif melekat dalam kepala saya. Kalau orang kata bisnes ni susah nak buat, saya katakan ia sebenarnya sangat senang dibuat.
Buktinya? Semalam saya baru mengutip cek berjumlah RM 70,000 dari seorang pelanggan yang bersetuju untuk membuat dokumennya melalui Wasiyyah Shoppe. Bayangkan , untuk menyediakan dokumen sahaja, dia bersetuju untuk membayar saya sejumlah wang yang begitu banyak. Dia tak bertanya panjang untuk membayar kerana katanya ini kali pertama dia diberikan penjelasan yang begitu terperinci dan profesional tentang isu harta pusaka. Jadi tak bolehkah kita membuat bisnes ini ? Tepuk dada, tanya akal sendiri.Jangan tanya hati kerana hati akan mengikut nafsu!
Bukan sedikit orang yang membuat bisnes ini telah 'syahid'. Ramai juga yang mengaku kalah dan 'surrender'. Kenapa jadi begini sedangkan fincancial planner bukan Islam berebut-rebut nak menjalankan bisnes ini yang membuktikan bahawa bisnes ini memang berpotensi besar. Sebagai peneraju Wasiyyah Shoppe yang telah melalui pelbagai pengalaman pahit manis dalam perjuangan ini, saya katakan bahawa mereka gagal kerana :
1. Sikap nak cepat kaya. Orang Melayu memang terkenal dengan sifat tamak haloba dan nak cepat kaya. Kita tidak mahu bersusah-payah sebaliknya nak kaya dengan senang dan kalau boleh nak goyang kaki sahaja. Itu sebabnya orang Melayu yang ramai tertipu dengan pelbagai skim cepat kaya hari ini. Orang yang syahid di dalam bisnes ini juga orang yang nak cepat kaya. Bila mereka dapati susah nak kaya buat bisnes ini, mereka give-up dan mereka berikan pelbagai alasan untuk kegagalan mereka seperti orang tak nak beli produk kita, susah, syarikat tak bagus, hari hujan, gempa bumi, banjir dsb. Tipical attitude of Malays!
2.Tidak mahu belajar dari orang yang lebih berpengalaman. Mereka yang syahid dalam bisnes ini sering berfikir bahawa mereka lebih tahu dan lebih pandai. They think they know better ! Saya yang berpengalaman hampir 12 tahun dalam bisnes ini juga tidak pernah mempunyai pemikiran begitu kerana sifat ilmu dalam bisnes ini, lagi banyak yang kita belajar, lagi banyak ilmu yang kita sebenarnya tidak tahu. Tapi ramai orang yang berfikir untuk 'reinvent the wheel". Mereka nak mengubah pendekatan, produk dan sebagainya. Mereka tidak mahu belajar dari orang yang lebih berpengalaman kerana merasakan mereka lebih pandai. Kerana orang Melayu hari ini terlalu moden, berfikiran terbuka, advance dan 'educated' , kita terlupa pepatah orang tua,"Ikutlah rasmi padi, makin berisi makin tunduk". Kalau ada yang terlupa marilah saya terangkan maknanya. Orang yang berkualiti ialah orang yang semakin banyak ilmunya, semakin merendah diri dan tawadhuk dirinya.
3.Tidak bersyukur. Mereka yang syahid dalam bisnes ini juga tidak bersyukur kerana dilorongkan Allah SWT untuk menceburi bidang ini. Kita tidak nampak betapa besarnya nikmat yang Allah SWT berikan kepada kita kerana diberi peluang untuk bekerja dalam bidang ini.Kita menegakkan Sunnah Rasulullah SAW bila mengalakkan orang ramai membuat wasiat, hibah, wakaf dan sebagainya. Berapa ramai orang di luar sana yang mendapat peluang ini ?
4.Tiada maruah dan harga diri. Mereka yang syahid dalam bisnes ini juga tiada maruah dan harga diri kerana mereka merasakan kerja mereka tidak membawa sebarang makna jika merekaa tidak mendapat wang yang banyak. Hanya bila mereka mendapat wang yang banyak , mereka merasakan mereka telah berjaya. Untuk wang mereka sanggup membuat apa sahaja. They don't take pride in what they're doing!
KESIMPULANNYA : Hanya orang yang benar-benar jujur, ikhlas, amanah dan mempunyai nawaitu sahaja yang akan kekal membuat kerja di dalam bisnes ini. Saya pernah bertemu dengan pelbagai jenis orang Melayu yang datang ke Wasiyyah Shoppe ingin menjalankan bisnes ini dan bercakap 'berdegar-degar' bahawa mereka yang terbaik, profesional dan cukup berkualiti serta ikhlas untuk berjuang dengan Wasiyyah Shoppe. Tetapi hakikatnya, mereka hanya ibarat tong kosong yang kuat berbunyi ! Tetapi pada saya, this is part and parcel of life. Kehidupan tetap perlu diteruskan dan saya redha dengan segala yang Allah SWT berikan kepada saya kerana nawaitu saya hanyalah Lillahitaala dan saya hanya mahu mati di dalam perjuangan ini. Sama ada saya akan menjadi jutawan atau tidak, itu urusan Allah SWT. Apa yang saya tahu saya akan terus-terusan berjuang di dalam bidang ini tanpa ada sekelumitpun perasaan was-was, sangsi, letih, berputus-asa, takut atau second doubt. Allah SWT mengetahui apa yang ada di dalam hati saya dan biarlah Dia sahaja yang menentukan segala-galanya, Amin.