Sunday, January 24, 2010

Orang Islam Kurang Cerdik Atau Terlebih Cerdik ?

Ramai rakan yang minta pandangan saya mengenai isu penggunaan kalimah Allah oleh Herald Catholic. Saya bukan orang politik malah semenjak dari kampus lagi saya tahu saya memang tiada bakat untuk jadi orang politik kerana sikap saya yang tak suka berpolemik. Namun begitu dalam isu ini saya nak bawa pandangan orang Islam kepada satu perspektif yang mungkin ramai di antara kita tidak perasan. Setiap hari di dalam akhbar kita melihat pelbagai lapisan masyarakat dan pemimpin masyarakat dari parti pemerintah mahupun parti pembangkang memberikan pandangan masing-masing yang pelbagi. Sebagai sebuah negara demokrasi, pada saya kepelbagaian pendapat ini adalah satu keunikan yang mesti diraikan. Namun dalam keghairahan orang Islam memberikan pendapat menyokong dan membantah, saya perhatikan ada satu situasi unik sedang berlaku yang kita orang Islam di Malaysia kurang memerhatikan.
Pihak yang bertanggungjawab menimbulkan isu ini tidak memberikan sebarang komen ! Mereka hanya berdiam diri sahaja. Mungkin mereka tidak mahu mengeruhkan suasana dan jika itu strategi mereka, saya menyokong sepenuhnya kerana tiada guna kita ingin menyimbah lagi petrol di atas api yang sedang membara !
Namun apa yang paling jelas dalam insiden ini ialah ia menunjukkan kepada semua orang di Malaysia ( bukan Islam atau Islam ) dan di dunia bahawa orang Islam sendiri BERPECAH-BELAH dan tidak bersatu-padu. Jadi dalam kita menang sorak ( kerana pandangan kita sering bertelagah dipaparkan di dada-dada akhbar ) , kampung kita sedang tergadai !
Pemimpin parti politik sesama Islam sendiri saling kutuk-mengutuk sesama sendiri sedangkan kita lihat SANGAT JARANG pemimpin parti politik orang bukan Islam mengutuk satu sama lain. Pernah seorang pemimpin parti politik berkata kepada saya bahawa mustahil parti politiknya ( yang 100% ahlinya orang Islam ) akan bergabung dengan parti politik yang satu lagi ( yang 100% juga ahlinya orang Islam ) kerana pernah dikhianati satu ketika dahulu. Ironinya mereka boleh pula bekerjasama dengan parti politik bukan Islam yang terang-terangan menentang Islam !
Saya nyatakan sekali lagi bahawa saya bukan orang politik namun akal waras saya mengatakan bahawa takkanlah orang sesama Islam yang Syahadahnya sama dan menghadap kiblat yang sama itu lebih buruk dari orang-orang kafir yang memang terang-terangan dijanjikan Allah SWT sebagai penghuni neraka? Ketahuilah bahawa perkara yang paling ditakuti oleh musuh Islam ialah apabila orang Islam tidak kira apa parti dan ideologi mereka BERSATU !
Bila kita berpecah-belah, inilah akibatnya. Agama kita dipermainkan dan ekonomi kita dijajah.Malangnya di dalam sejarah orang Melayu, sentiasa ada watak Si Kitul yang sentiasa bersedia menjual maruah dan harga dirinya kerana wang. Di dalam Sejarah Islam juga, sentiasa ada watak Muawiyah yang sanggup berbuat apa sahaja kerana kuasa. Marilah sama-sama kita renungkan, adakah orang Islam kurang cerdik atau terlebih cerdik ?