Friday, April 9, 2010

Program Usahawan Siswazah Mirath

Salam bertemu kembali di ruangan blog ini. Wasiyyah Shoppe telah mendapatkan kelulusan dari Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia untuk melancarkan Program Usahawan Siswazah Mirath. Objektif utama program ini ialah untuk membentuk Usahawan Profesional di dalam industri perancangan dan pengurusan harta pusaka secara Syariah di Malaysia. Sesiapa sahaja graduan dari apa sahaja bidang di antara umur 23-30 tahun layak memohon bagi menyertai program namun keutamaan akan diberikan kepada graduan dari bidang Pengajian Islam, Pengurusan Perniagaan dan Ekonomi. Melalui program ini , siswazah akan diberikan latihan intensif selama 1 tahun untuk menguasai ilmu pewarisan harta Islam dan dalam masa yang sama akan dibimbing melalui FORMULA KHAS bagaimana untuk memperoleh pendapatan sehingga RM 4000 sebulan dalam tempoh 1 tahun ini. Program seumpama ini adalah yang pertama di Malaysia. Wasiyyah Shoppe hanya memerlukan 100 orang Siswazah sahaja untuk program ini.

Sunday, March 21, 2010

Perjuangan baru bermula

Alhamdulillah, Allah SWT masih terus memberikan saya kekuatan untuk menulis di dalam blog ini walaupun selama hampir 2 bulan yang lepas, masa agak suntuk akibat hambatan tanggungjawab yang amat berat. Alhamdulillah, segala perancangan telah berjaya disiapkan dan kini sedang di dalam proses perlaksanaan . Wasiyyah Shoppe hari ini berbangga kerana kami adalah satu-satunya entiti milik penuh orang Islam yang mempunyai produk paling komprehensif dan berkesan di dalam industri dengan kejayaan mengurus harta pusaka paling efisien pada kadar yang paling cepat dan yang paling penting kami berjaya membantu waris-waris menuntut harta pusaka TANPA SEBARANG CAJ DIKENAKAN kepada waris mahupun kepada harta pusaka simati. Inilah sebenarnya kepuasan terbesar yang saya capai di dalam menjalankan amanah ini, iaitu dapat MEMBANTU WARIS menuntut harta pusaka simati dengan cepat.
Namun saya sedar, perjuangan sebenarnya baru bermula. Perjalanan industri ini sebenarnya masih terlalu jauh sehingga tidak dapat melihat di mana ufuknya. Terlalu ramai orang Islam di luar sana yang mesti dibantu oleh Wasiyyah Shoppe. Masih banyak lagi waris-waris yang terkapai-kapai kebingungan tidak tahu bagaimana untuk menuntut harta pusaka si ayah, si ibu atau suami yang telah meninggal dunia. Masih ramai lagi anak-anak yatim di luar sana yang terpaksa menderita menunggu sehingga bertahun-tahun sebelum dapat menerima harta pusaka tinggalan ayah / ibu. Masih terlalu ramai orang Islam yang tidak tahu apa bezanya antara wasiat dan hibah. Masih berbilion nilai harta pusaka yang masih tertunggak....
Jadi perjuangan sebenarnya baru bermula. Marilah berjuang bersama-sama saya.....

Monday, February 22, 2010

Alahai umatku....

Hari ini keluar di akhbar seorang ulama menyaman seorang ulama kerana tuduhan yang dibuat atas beberapa isu. Bila saya baca berita seperti ini, hati saya meruntun kesedihan. Apalah nak jadi dengan umat Islam di Malaysia yang kebetulannya pula adalah berbangsa Melayu. Jika di kalangan ulama sendiri menunjukkan contoh kurang baik dengan berbalah sesama sendiri kerana isu-isu peribadi, ke mana pula umat yang marhain dan cetek ilmu seperti kita hendak berpaling dan mendapatkan nasihat ? Patutlah orang Islam di Malaysia hari ini menghadapi satu demi satu penghinaan dan akhirnya kelak, jika sesuatu tindakan konstruktif tidak diambil, umat Islam di Malaysia akan kehilangan dan tergadai segala-galanya. Ketika itu menangis air mata darah sekalipun tidak berguna....
Orang Melayu beragama Islam hari ini telah hilang jatidiri, maruah dan sense of purpose dalam kehidupan. Kita sanggup membunuh dan menjatuhkan saudara sesama Islam kita kerana tamakkan wang, harta dan kuasa. Kita sanggup memusnahkan organisasi yang dibina di atas asas dan dasar untuk membantu orang Islam kerana kita merasakan kita lebih pandai, cerdik dan berilmu. Malang sungguh nasib umatku. Di atas alasan kemodenan, keterbukaan, bergerak ke hadapan dan progresif kita sanggup membuat apa sahaja untuk memenuhi nafsu amarah, dendam dan dengki.
Alahai umatku...sedarlah di saat kita sesama Islam sibuk bunuh-membunuh, dengki-mendengki dan jatuh-menjatuhkan, musuh Islam sedang ketawa dan berseronok. Mereka gembira kerana mereka tidak perlu bekerja kuat untuk menewaskan orang Islam kerana orang Islam di Malaysia yang berbangsa Melayu memang telah diprogram untuk menjatuhkan satu sama lain. Kita memang suka self-destruct diri kita sendiri.
Alahai umatku...alangkah baiknya kalau masa, tenaga dan wang yang digunakan untuk berpolitik menjatuhkan sesama sendiri itu digunakan untuk bekerja keras dan fokus kepada perjuangan mendaulatkan Muammalat , memartabatkan ekonomi Islam dan membantu seberapa ramai orang Islam untuk berjaya ? Kekadang saya menangis di tengah ketenangan malam apabila mengenangkan cabaran yang Allah SWT turunkan kepada saya di dalam perjuangan ini. Begitu banyak halangan dan cabaran yang terpaksa dilalui dan yang lebih menyedihkan kerana halangan dan cabaran ini hadirnya dari individu yang bersyahadah yang mengaku tiada tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad SAW itu pesuruhNya.
Lupakah kita pada janji-janji Tuhan bahawa perjuangan kejalanNya pasti akan menempa kejayaan ? Lupakah kita bahawa sebaik-baik manusia di sisi Allah BUKANLAH yang terkaya, paling berkuasa, paling pandai berkata-kata atau paling pandai berpolitik, sebaliknya yang paling mulia di sisi Allah itu adalah orang yang paling bertakwa kepadaNya ?
Alahai umatku.....marilah kita bersama-sama betulkan nawaitu kita kembali. Bekerjasama dan bersatu-padu dalam perjuangan menegakkan Sunnah Rasulullah SAW dan mendaulatkan muammalatNya. Muhasabah diri, perbanyakkan zikir, kembali kepada Al-Quran dan mantapkan kembali fikrah yang mungkin telah lemah akibat dibuai badai nafsu amarah, dengki dan khianat. Ingatlah bahawa kita akan dipanggil balik pada bila-bila masa olehNya.
Jika kita dipanggil dalam keadaan kita sedang sibuk melayan nafsu amarah, dengki dan khianat, apakah yang boleh kita jawab kepadaNya. Tetapi jika kita dipanggil pulang dalam keadaan kita sedang fokus berusaha bersungguh-sungguh menegakkan Sunnah Rasulullah SAW dan mendaulatkan muammalatNya, saya percaya kita akan dapat menjawab segala persoalan Munkar Nakir dengan yakin dan tertib. Ingatlah, jika kita mengejar dunia, ia akan lari jauh dari kita tapi bila kita mengejar akhirat, dunia akan datang menyembah di kaki kita, Insya'Allah.

Friday, February 19, 2010

Peluang bisnes yang berpanjangan

Salam. Bertemu kembali. Kali ini saya nak bercakap mengenai peluang bisnes di dalam industri perancangan dan pengurusan harta pusaka secara Syariah. Rata-rata kita lihat industri muammalat semakin berkembang di Malaysia. Buktinya, organisasi milik bukan Islam juga berebut-rebut ingin mendapat lesen perbankan Islam dan juga takaful. Malah dalam industri yang saya ceburi ini juga, perancang kewangan ( financial planners ) bukan Islam berebut-rebut ingin menjual hibah, wasiat islam dan instrumen lain kepada orang Islam. Jika industri ini tidak berpotensi, kenapa pula Ah Chong, Ramasamy, David, Lydia nak menceburi bidang ini ? Takkanlah mereka nak buat kerja di dalam bidang yang tidak menguntungkan ? Bukankah mereka lebih pandai mengira untung rugi dari kita ?
Saya bergiat 12 tahun di dalam industri ini dan pelbagai pengalaman telah saya lalui. Ramai orang telah datang dan pergi dari industri ini tetapi Alhamdulillah saya masih dikurniakan kekuatan oleh Allah SWT untuk terus bertahan di dalam industri ini. Merenung kembali apa yang telah saya capai dalam bidang ini, saya rasa seronok & puas kerana melihat jumlah pelanggan melebihi 17,000 yang telah berjaya Wasiyyah Shoppe bantu hingga hari ini.
Saya rasa peluang bisnes di dalam bidang ini adalah SANGAT BESAR sekali. Kalau orang Melayu Islam tak merebut peluang ini, rugi betul rasanya. Bayangkan perubahan gaya hidup masyarakat hari ini. Pasangan yang mempunyai anak perempuan, anak angkat atau tidak mempunyai anak, kesemuanya memerlukan perkhidmatan Wasiyyah Shoppe bagi menyediakan hibah, wasiat Islam, amanah, harta sepencarian dan lain-lain. Begitu juga dengan orang bujang yang tidak berkahwin. Tentunya mereka juga mempunyai hasrat siapa yang akan mewarisi harta mereka.
Orang tanya saya sampai bila perniagaan ini akan bertahan ? Jawapan saya mudah sahaja. Selagi ada bayi beragama Islam dilahirkan dan selagi ada orang Islam meninggal dunia, selagi itulah perkhidmatan Wasiyyah Shoppe diperlukan. Jadi, peluang bisnes di daam bidang ini memang menarik dan berpanjangan sampai bila-bila, Insya'Allah.
JADI ANDA BERMINAT ? MARILAH BERSAMA-SAMA SAYA BERJUANG DI DALAM BIDANG INI, INSYA'ALLAH KEJAYAAN AKAN MENANTI KITA.

Wednesday, February 10, 2010

Isu pembangunan Kampung Baru

PM dah umumkan pelan pembangunan Kampung Baru KL. Maka ramailah orang yang memberi pelbagai komen mengenai cadangan pembangunan itu. Ada yang setuju dan tidak setuju ia dibangunkan. Saya juga mempunyai pengalaman berurusan dengan beberapa penduduk Kampung Baru. Sebenarnya saya menyokong penuh idea untuk pembangunan hartanah di Kampung Baru. Namun saya juga seperti kebanyakan orang merasakan pembangunan itu mestilah tidak akan merugikan pemilik asal tanah Kampung Baru. Dalam kita mengejar aruas permodenan, kita tidak boleh lupa bahawa 'pembangunan' di sini bukan bermaksud tanah itu dijual dan pemilik mendapat RM 4 juta bagi sekeping tanah seperti yang digembar-gemburkan. 'Pembangunan' di sini mestilah membawa makna tanah itu 'dinaiknilaikan' ( upgrade value ) dan pemilik masih memiliki pegangan di dalam pembangunan itu dengan nilai yang lebih dari RM 4 juta yang asal.
Ini bermakna, pemilik asal masih memiliki hak ke atas hartanah itu dan dalam masa yang sama hak itu mempunyai nilai yang lebih tinggi dari sekarang. Walaupun saya tidak terlibat di dalam isu ini, namun saya berpandangan bahawa cadangan membina bangunan kondominium, pejabat dan shopping complex mega di situ tepat tetapi pemilik asal mestilah mendapat hak ke atas pembangunan itu contohnya pemilik mungkin diberikan 1 unit kondiminium, 1 unit lot kedai dan mungkin sedikit tunai. Jadi pemilik akan untung kerana mereka masih memiliki hartanah di situ, berpeluang berniaga dan dalam masa yang sama wang tunai diterima boleh dijadikan modal.
Kita kena ingat bahawa jika pembangunan ini hanya memberi pemilik tanah asal wang sahaja, ia tidak membawa nilai yang signifikan kerana orang kita bila dapat tunai, ia boleh dihabiskan dalam masa yang cukup cepat. Jadi, berikan mereka imbuhan di dalam bentuk ini. Bagi memastikan hartanah tersebut akan terus dipegang oleh generasi yang akan datang dan tidak dijual, satu Amanah ( Trust ) boleh dibentuk. Di dalam Amanah ini dinyatakan bahawa hartanah ini tidak boleh dijual tetapi perlu diusahakan oleh waris-waris pemilik tanah dengan hasilnya dimasukkan ke dalam satu akaun amanah khas ( selepas ditolak gaji pengurus ) dan waris-waris lain boleh mendapat manafaat dari akaun itu seperti untuk tujuan pelajaran, kesihatan atau kebajikan.
Secara tidak langsung, kita akan masih ada orang Melayu yang tinggal di kondominium mewah dan berniaga di kompleks mega di tengah Kuala Lumpur. Hartanah itu juga akan kekal menjadi milik generasi berikutnya. Kesan kepada implimentasi strategi ini ialah nilai ekonomi orang Melayu akan meningkat, Kampung Baru akan dapat dibangunkan. Kerajaan gembira kerana potensi ekonomi Kampung Baru dapat dieksploit, pemilik tanah gembira kerana nilai hak mereka bertambah dan generasi akan datang juga seronok kerana mereka mempunyai hak ke atas hartanah yang paling berharga di Malaysia. Wallahualam

Friday, February 5, 2010

Orang Melayu & Politik

Orang Melayu suka berpolitik. Semenjak dari zaman kesultanan Melayu Melaka lagi orang Melayu memang cukup suka mempolitikkan pelbagai perkara. Dari sekecil-kecil benda sehinggalah sebesar-besar perkara, semuanya kalau boleh dipolitikkan. Dari organisasi parti politik sehinggalah ke apa sahaja bentuk organisasi.Sekiranya ahli atau orang yang terlibat di dalamnya orang Melayu, maka politiklah kerjanya.
Saya tidak suka berpolitik. Saya bukan ahli politik dan tidak mungkin jadi ahli politik walaupun saya mempunyai kepercayaan politik tertentu. Semenjak dari zaman universiti lagi, pelbagai pihak baik pro-aspirasi mahupun pro-mahasiswa telah berusaha bersungguh-sungguh mengajak saya menyertai politik. Namun saya rasa i'm not cut to be a politician. Kenapa ? Kerana saya tidak suka bercakap buruk mengenai orang lain. Pastinya kalau kita berpolitik, ungkapan-ungkapan seperti , " Sipolan ni sebenarnya tamak, gila kuasa dan suka menindas orang lain.Itulah sebabnya kita kena tentang Sipolan ni habis-habisan. Orang macam ini tak layak jadi ketua. Sebaliknya engkorang pilihlah aku sebab aku akan memperjuangkan nasib engkorang habis-habisan kerana aku lebih faham apa yang engkorang lalui berbanding dengan SiPolan tu!"
Walau apapun faktanya benar atau tidak, tetapi jika saya jadi ahli politik, ungkapan seperti di atas tidak mahu tidak perlu saya keluarkan untuk menarik sokongan orangramai terhadap saya. Saya tak sanggup memakan daging saudaranya sendiri. Saya lebih suka berdiamdiri walaupun difitnah dan dikutuk kerana 'SAYA BUKAN AHLI POLITIK' .
Saya tidak pergi ke sana ke mari mencari pengaruh dan mengajak orangramai menyokong saya dan melawan sesuatu pihak. Saya hanyalah seorang insan biasa yang telah Allah SWT lorongkan untuk berjuang di dalam industri perancangan dan pengurusan harta pusaka secara Syariah. Allah SWT telah memberikan saya banyak kemudahan dengan mempertemukan saya dengan ramai bijak pandai ilmuwan di dalam bidang ini dan kebanyakan mereka dengan rela hati menyokong perjuangan saya dan percaya dengan apa yang saya buat. 17,000 pelanggan yang melanggan dengan Wasiyyah Shoppe juga adalah satu amanah besar yang saya galas di bahu dan akan saya jaga amanah ini sebaik mungkin sehingga ke penghujung nyawa saya. Tugas saya bukanlah untuk berpolitik. Tugas saya yang paling besar ialah untuk membantu seberapa ramai orang Islam yang boleh untuk merancang dan mengurus harta pusaka mereka mengikut kaedah Syariah.
Apa yang berlegar di fikiran saya apabila ada pihak mencerca dan mengutuk saya ? Pada saya biarlah mereka cakap apa yang hendak mereka katakan kerana mulut orang memang tidak boleh ditutup seperti mulut tempayan. Tapi saya juga tahu bahawa apabila saya difitnah dan dicerca, pahala mereka akan saya perolehi dan dosa saya pula akan mereka tanggung. Seronok juga betul tak ?
Penulisan saya di dalam blog ini memang sengaja saya juruskan kepada kritikan sosial kepada semua orang terutamanya kepada orang Melayu beragama Islam. Ada orang yang boleh terima kritikan saya tetapi ramai juga yang tak larat nak baca. Truth's hurt. Saya hairan, orang kita lebih suka bertindak untuk memusnahkan organisasi yang dibina oleh orang Islam sendiri atas dasar hasad dengki, khianat dan sakit hati. Mereka akan bertepuk tangan dan bergembira apabila organisasi milik orang Islam musnah dan runtuh akibat api amarah dan nafsu mereka. Tapi dalam masa yang sama mereka bersungguh-sungguh menyokong organisasi milik orang bukan Islam ! Kata mereka organisasi milik orang bukan Islam lebih 'efisien', 'telus' dan 'ikhlas' (Ikhlas?). Kerana itu mereka lebih seronok bekerja dengan organisasi milik bukan Islam.
Memang benar, dalam berorganisasi tiada satupun organisasi di dunia ini yang sempurna. Tetapi kita kena melihat objektif penubuhan organisasi itu. Jika objektifnya keuntungan maka segala apa yang mereka lakukan adalah bermotifkan keuntungan. Janganlah ada orang memberitahu saya bahawa organisasi milik orang bukan Islam ini beroperasi kerana 'Lillahitaala'. Tidak akan sama orang yang bersyahadah dengan orang yang tidak bersyahadah dari aspek ini.
Jadi wahai orang Islam berbangsa Melayu, lupakanlah seketika semangat berpolitik anda dan marilah kita rapatkan saf dan bersatu. Fokuskan segenap usaha dan tenaga kita kepada amanah yang ada di hadapan kita iaitu untuk memartabatkan Muammalat dan menegakkan Sunnah Rasulullah SAW di dalam industri perancangan dan pengurusan harta pusaka secara Syariah. Kita mesti yakin dengan janji Allah kepada orang yang berjuang kearahNya. Insya'Allah kejayaan akan menanti kita.

Thursday, January 28, 2010

Adakah saya CEO yang berjaya ?

5 tahun lepas apabila kami menubuhkan Wasiyyah Shoppe, kami sudah nampak orang bagaimana yang akan bekerja kuat mendokong industri ini. Ramai orang telah datang dan pergi. Pelbagai golongan ; financial planners, profesional seperti akauntan, jurutera, doktor pun ada malah golongan ustaz juga pernah terlibat bersama Wasiyyah Shoppe.
Ada yang telah berjaya memperoleh pendapatan 5 angka hasil kerja kuat di Wasiyyah Shoppe tapi ramai juga yang cuma dapat ilmu sahaja tapi gagal diimplimentasi dengan baik ! Kadang-kadang kita sering terlupa 'where it all begins'. Saya sering mengingatkan francaisi dan perunding Wasiyyah Shoppe bahawa 'the real purpose' kenapa Wasiyyah Shoppe wujud hari ini ialah kerana kita mahu mendaulatkan Muammalat, menegakkan Sunnah Rasulullah SAW dan membantu seberapa ramai orang Islam yang boleh merancang harta pusaka mereka mengikut Kaedah Syariah.
Yes this is a business tapi business ini yang sebenarnya ialah Kerana Allah SWT. Ramai yang mengutuk, menghina, mengkeji malah memfitnah saya kerana kata mereka saya ini langsung tiada ketokohan CEO perniagaan kerana saya tidak tertarik sangat untuk menjadi kaya, punya wang berjuta dan membawa kereta mewah. Mungkin bagi mereka, CEO yang berjaya ialah orang yang berjaket, berkereta mewah yang ada driver, 'stylo' dengan aksesori mewah, 'clubbing' , makan makanan western di restoran berjenama, lepak di Bangsar atau Hartamas.
Well jika itulah definisi mereka terhadap CEO yang berjaya, mereka akan kecewa. Mungkin CEO syarikat lain dari industri yang sama berciri demikian tetapi tidak saya. Saya telah amat-amat bersyukur dengan segala yang Allah SWT telah kurniakan kepada saya setakat ini. Sebuah kereta walaupun bukan mewah tetapi amat selesa untuk membawa saya dan keluarga ke mana-mana. Sebuah rumah walaupun bukan banglo berharga jutaan ringgit tetapi memberikan saya sakinah yang saya cari-cari dan yang paling penting keluarga yang bahagia dan kesihatan yang baik. Tentang makan , saya hanya suka makan di warung mamak sahaja. Waktu lapang pula saya lebih suka habiskan dengan membaca. Pakaian saya juga hanyalah pakaian biasa yang tidak berjenama dibuat oleh tailor regular saya semenjak 15 tahun yang lepas !
Adakah saya seorang yang berjaya ? Jika ukuran kejayaan itu ialah materialistik, maka saya belum berjaya lagi. Tapi jika tafsiran kejayaan itu ialah tentang berapa ramai orang Islam yang telah Wasiyyah Shoppe bantu di dalam industri ini, saya rasa saya antara orang paling berjaya berjalan di atas muka bumi ini. Bayangkan pada 2004 dulu, orang langsung tidak peduli dengan industri ini tapi hari ini, bank dan syarikat milik orang bukan Islam pun berebut-rebut nak menjalankan perniagaan ini kerana apa ? Kerana mereka melihat Wasiyyah Shoppe mampu bertahan sebegini jauh. Adakah saya seorang yang berjaya ? YA . SAYA SEORANG YANG SANGAT BERJAYA kerana sumbangan saya kepada industri dan masyarakat. Walau apapun yang orang kata tentang saya, mereka tidak boleh menolak hakikat bahawa sumbangan Wasiyyah Shoppe kepada masyarakat di bawah kepimpinan saya adalah SANGAT SIGNIFIKAN !
Pelbagai pengalaman pahit manis mengharungi perniagaan ini telah mengajar saya bahawa Allah SWT akan sentiasa membantu hambaNya yang mempunyai nawaitu yang tepat. Jadi rezeki saya serahkan kepadaNya untuk ditentukan. Di dalam hati, saya telah sematkan dengan satu pendirian yang cukup kuat seampuh pohon ara yang akarnya mencengkam ratusan kaki ke dalam bumi iaitu apabila Allah SWT telah melorogkan saya ke dalam bidang ini, TUGAS SAYA IALAH UNTUK BERDAKWAH DAN MENYAMPAIKAN MESEJ KEPENTINGAN PERANCANGAN HARTA PUSAKA SECARA SYARIAH KEPADA SEBERAPA RAMAI ORANG ISLAM YANG BOLEH DAN NAWAITU SAYA HANYALAH KERANA ALLAH SWT. Jika seruan saya disambut, itu adalah rezeki yang Allah SWT telah tentukan untuk saya. Jika seruan saya tidak disambut, saya akan pasrah dan redha kerana itu ujian Allah SWT berikan kepada saya sebagai bukti kasihNya terhadap saya.
Tetapi adakah saya akan mengeluh dan berputus-asa jika saya ditolak ? Tidak sekali-kali kerana saya telahpun sematkan dalam hati, saya hanya mahu mati di atas perjuangan ini. Marilah sama-sama kita betulkan nawaitu dan iktiqad kita. Marilah berjuang bersama-sama Wasiyyah Shoppe bukan kerana wang tetapi kerana Allah SWT. Kita mesti yakin dengan sepenuhnya pada Janji Allah untuk orang yang berjuang di landasanNya...iaitu KEJAYAAN HAKIKI akan menjadi milik kita, Insya'Allah.