Tuesday, September 15, 2009

SALAM AIDILFITRI

Alhamdulillah kita telah hampir berjaya menamatkan bulan Ramadhan yang penuh berkat tahun ini. Di kesempatan ini saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua Francaisi, Perunding, Pelanggan Wasiyyah Shoppe dan semua umat Islam di seluruh Malaysia yang mengenali saya dan Wasiyyah Shoppe.
Mungkin di sepanjang perkenalan kita, ada antara kata-kata atau tindakan yang saya ambil menyinggung perasaan kalian, sepuluh jari saya susunkan sebagai tanda permohonan maaf yang ikhlas jauh dari sudut hati. Saya akur kepada hakikat bahawa sebagai manusia saya banyak melakukan kesilapan dan saya akui kelemahan ini. Semoga saya dimaafkan.
Raya tahun ini saya akan menyambutnya di Kuala Lumpur terlebih dahulu. Selepas melawat bapa saudara, ibu saudara dan pusara ayah, barulah saya akan berangkat pulang ke kampung isteri di Labis, Segamat. Mungkin pada raya ketiga baru saya akan ke kampung kelahiran saya di Kluang untuk bertemu nenek-nenek ( saya ada 4 nenek!), ibu-ibu saudara dan bapa-bapa saudara yang keseluruhannya lebih kurang 30 orang ( plus minus!) serta bertemu sepupu-sepupu yang saya anggarkan dalam lebih kurang 40 orang lagi. Bayangkan berapa banyak duit raya yang saya kena keluar!
Walau apapun saya seronok kerana inilah satu-satunya peluang dalam setahun saya dapat beramah-mesra dengan ahli keluarga saya, maklumlah kesibukan tugas selalu membataskan kita dari bertemu dengan mereka.
Kepada semua umat Islam di Malaysia, saya ucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI minal aidil wal faidzin. Hati-hati di jalanraya semasa pulang ke kampung. Kepada francaisi dan perunding Wasiyyah Shoppe. berehat dan berseronoklah secukupnya sepanjang cuti hari raya ini. Selepas ini masih ada banyak tanggungjawab yang perlu kita laksanakan. Semoga Allah SWT terus memberikan kita kekuatan untuk meneruskan perjuangan ini, Amin.

Wednesday, September 9, 2009

MENGEJAR LAILATUL QADAR

Salam Ramadhan. Hari ini kita memasuki 20 Ramadhan.Perasaan bercampur-baur di antara seronok dan sedih. Seronok kerana ini bermakna pencarian untuk Lailatul Qadar telah bermula. Malam ini kita akan menghiasi malam dengan Tadarus, Sunat Tahjud, Sunat Hajat, Sunat Taubat, Sunat Tasbih dan pelbagai ibadat yang lain. Airmata keinsafan dan taubat akan mengalir dengan mudah malam ini mengharapkan Ihsan Allah SWT. Semoga Dia memandang kita dengan penuh kasih sayang dan melimpahi rahmatNya.

Sedih pula kerana ini bermakna Ramadhan sudah hampir sampai ke penghujungnya. Rasanya belum puas beribadat dan memohon keampunan malah diri ini rasa penuh dengan dosa dan kesalahan yang masih belum terampun sepenuhnya. Fasa maghfirath telah berakhir dan semoga Allah SWT membuka pintu syurganya untuk kita di 10 hari terakhir ini.

Sama ada kita akan bertemu lagi dengan Ramadhan yang akan datang atau tidak, hanya Allah SWT sahajalah yang mengetahuinya.

Doa yang sentiasa saya lafazkan, Ya Allah Ya Tuhanku, berikanlah aku kekuatan untuk terus berjuang di atas landasan ini. Janganlah Engkau tinggalkan aku selepas Engkau memberikan aku hidayah. Sesungguhnya aku mahu mati hanya di atas landasan ini, Amin Amin Ya Rabbal Alamin.

Tuesday, September 1, 2009

CABARAN RAMADHAN


Bulan Ramadhan tiba lagi. Kita semua bersyukur kepada Allah SWT kerana diberikan peluang bertemu lagi dengan bulan yagn penuh keberkatan ini. Tahun ini Ramadhan memberikan cabaran yang agak berbeza kepada saya berbanding tahun-tahun yang lepas. Jika tahun-tahun yang lepas saya mempunyai banyak peluang untuk bersama isteri dan anak-anak berbuka puasa, berterawih di masjid qariah saya, bersahur dan menjalani ibadah puasa di Kuala Lumpur, tahun ini lebih mencabar.

Sehingga 10 Ramadhan, saya hanya berpeluang untuk berpuasa 2 hari sahaja di Kuala Lumpur. Pada hari-hari yang lain ( 7 hari seminggu ) saya bermusafir ke Kemaman, Kota Bharu dan Kuala Terengganu kerana program-program yang diatur oleh sahabat francaisi dan perunding Wasiyyah Shoppe. Bersahur di hotel bukanlah satu pengalaman yang menarik. Memandu di dalam panas terik beratus-ratus kilometer dalam keadaan mengantuk bukanlah satu situasi yang menyeronokkan walaupun pemandangan pemanduan di sepanjang pantai negeri Terengganu memang menyegarkan. Saya mencatit odometer kereta saya dan saya dapati saya telah bermusafir 2700 km dalam tempoh 6 hari bermusafir !

Ramai orang bertanya saya, tak penatkah melalui semua aktiviti ini dalam bulan Ramadhan. Saya tidak akan berbohong…..ia memang amat memenatkan. Tapi saya komited . Ramai juga yang bertanya apa yang ‘drive’ saya untuk bekerja 7 hari seminggu tanpa henti dalam bulan Ramadhan ini ?

Jawapan saya mudah sahaja. Saya telah dikurniakan Allah SWT dengan peluang untuk berbakti kepada ummah melalui kerja ini. Saya telah dilimpahi dengan rahmatNya apabila dia mempertemukan saya dengan ramai ilmuwan-ilmuwan berpengalaman dalam isu pewarisan di Malaysia. Prof Madya Ridzuan Awang ( UKM ) , Prof Dr Islami Abu Hassan ( UIA ) , Tn Hj Abdullah Mohammad ( Pesaka Kecil Persekutuan ), Tn Hj Sulaiman Kadimi ( Pesaka Kecil Pahang) dan rakan-rakan peguam syariah dan sivil. Semuanya banyak menyumbang idea dan buah fikiran bernas bagaimana untuk membantu orang Islam di Malaysia mengatasi isu cabaran harta pusaka.

Kerana itu saya berpegang kuat kepada pendirian bahawa apa yang saya lakukan ini adalah satu AMANAH yang akan saya pegang dengan kukuh sehingga saya menghembuskan nafas saya yang terakhir. Pada orang lain ini mungkin satu perniagaan tetapi pada saya ini adalah satu PERJUANGAN menegakkan Sunnah Rasulullah SAW.

Tidak ada apa yang memberikan lebih kepuasan dalam kehidupan ini melainkan melihat betapa hasil kerja kuat saya selama bertahun-tahun membantu orang Islam merancang harta pusaka mereka telah membolehkan anak-anak yatim yang ditinggalkan mendapat harta pusaka arwah ayah / ibu mereka dengan cepat dan tidak membebankan dari segi kos. Ini satu ibadat FARDHU KIFAYAH.

Setiap pagi apabila celik dari tidur, saya bersyukur kepada Allah SWT kerana menghidupkan saya satu hari lagi bagi terus berdakwah menyebarkan ilmu pewarisan harta secara Syariah . Inilah yang ‘drive’ saya untuk terus bekerja tanpa mengenal penat-lelah dan jemu. Kerja inilah juga yang akan saya buat dengan bersungguh-sungguh sehingga ke ahir hayat saya, Insya’Allah..

Wednesday, August 19, 2009

MARILAH BERJUANG BERSAMA-SAMA WASIYYAH SHOPPE

Alhamdulillah, Allah SWT masih memberikan saya kekuatan untuk meneruskan catitan di dalam blog ini. Saya mohon maaf kalau ada yang mengikuti blog ini dan mendapati ia agak ‘dormant’ buat beberapa ketika. Bukan apa , waktu memang mencemburui saya. Masa saya mula perkenalkan blog ini, saya rasa takkanlah saya langsung tak ada masa untuk mengemaskinikan blog. Rupa-rupanya, memang betul tak ada masa. Bukan sahaja blog malah golf set saya pun sudah agak lama berhabuk di dalam stor !

Walaupun demikian, saya tetap komited untuk terus mengemaskini blog ini bagi manafaat pembaca sekelian. Kali ini saya hendak menyentuh tentang PERJUANGAN di dalam industri perancangan dan pengurusan harta pusaka secara Syariah.

Ramai orang beranggapan aktiviti di dalam industri ini ialah satu cabang perniagaan semata-mata. Itulah sebabnya, ada syarikat yang dimiliki oleh orang bukan Islam berebut-rebut memasuki industri ini selepas Wasiyyah Shoppe beroperasi kerana mereka nampak ia menawarkan 'peluang perniagaan' yang amat baik. Mereka melihat bahawa mereka boleh mendapat banyak wang dan boleh kaya dari industri ini.

Saya mempunyai tanggapan yang amat berbeza. Pada saya penglibatan saya di dalam industri ini adalah satu PERJUANGAN untuk menegakkan Sunnah Rasulullah SAW dan juga untuk membantu orang Islam merancang dan mengurus harta pusaka mereka mengikut KAEDAH SYARIAH dan saya lakukan ia semata-mata KERANA ALLAH SWT.

Ramai Perancang Kewangan ( Financial Planner ) bukan Islam yang bertemu saya dan meminta saya mebuka 'peluang perniagaan' Wasiyyah Shoppe kepada mereka. Kata mereka, mereka ada ramai pelanggan Islam yang boleh diperkenalkan kepada Wasiyyah Shoppe. Walaupun saya rasa besar hati kerana orang bukan Islam berminat untuk melibatkan diri bersama Wasiyyah Shoppe, jawapan saya kepada mereka semenjak 5 tahun yang lepas adalah konsisten :

“I'm flattered but sorry, Wasiyyah Shoppe is for Muslim by Muslim only.”

Apa yang Wasiyyah Shoppe buat ialah satu wadah dakwah dan perjuangan. Saya tidak fikir individu yang tidak mempunyai SYAHADAH akan faham kenapa pelanggan mereka perlu menyediakan Wasiat Islam, Hibah. Wakaf dan Harta Sepencarian. Saya juga percaya bahawa dokumen-dokumen yang dibuat di Wasiyyah Shoppe bukan sahaja bersifat fungsional dari segi undang-undang malah lebih besar lagi ia mempunyai ROH untuk mendaulatkan Muammalat.

Ramai pemain dalam industri mengutuk dan mengkritik saya sebagai kolot dan berfikiran lapuk kerana pendirian ini . Kata mereka bukankah lebih baik kalau saya buka 'peluang perniagaan' ini kepada orang bukan Islam sebab mereka terbukti lebih berkesan, rajin dan mempunyai pelanggan Islam kaya-raya yang ramai ? Kecuali Wasiyyah Shoppe, semua pemain lain dalam industri mempunyai agen bukan Islam untuk menjual 'produk' mereka.
Itulah sebenarnya masalah mereka. Mereka 'berniaga' menjual 'produk'. Saya BERDAKWAH menyebarkan ilmu-ilmu pewarisan harta SECARA SYARIAH. Walaupun Wasiyyah Shoppe berfikiran lapuk dan ortodoks, kami telahpun membantu lebih dari 15,000 orang Islam seluruh Malaysia merancang harta pusaka mereka. Lebih dari 50 keluarga Islam telah berjaya kami bantu dalam menyelesaikan proses tuntutan harta pusaka mereka. Bilangan waris yang terlibat pula melebihi 300 orang.

Kalau pelanggan tidak membeli dari saya, adakah saya akan kecewa ? Pasti tidak kerana pada saya ia adalah dakwah dan saya amat yakin selepas saya menyampaikan dakwah ini kepada mereka, tanggungjawab dan amanah saya untuk menyampaikan ilmu yang bermanafaat ini sudahpun selesai.

Kalau pelanggan mendapatkan perkhidmatan Wasiyyah Shoppe selepas itu, Alhamdulillah ada rezeki saya. Tapi kalau mereka membeli dari pemain lain, tidak mengapa sebab saya amat yakin saya ada 'syer' dalam keputusan mereka di alam akhirat nanti, Insya'Allah.

Saya seorang CEO yang simple-minded. Pada saya kerja saya adalah DAKWAH dan DAKWAH adalah KEHIDUPAN dan saya mahu mati di atas landasan ini. Bertemu lagi di lain kali, Insya'Allah.

Wallahualam

Friday, April 3, 2009

UJIAN SEORANG PEJUANG

Assalamualaikum WBT , lama sungguh saya tidak mengemaskini blog ini. Bukan tidak sudi tetapi hambatan tanggungjawab, amanah dan tugasan yang sungguh banyak menyebabkan masa agak terbatas untuk mengisi blog ini.
Saya seorang ayah kepada 3 orang anak perempuan yang semuanya sudah bersekolah berumur 6 tahun, 10 tahun dan 14 tahun. Di celah-celah kesibukan memenuhi program ceramah dan aktiviti perniagaan di seluruh Malaysia, isteri saya yang tercinta admitted ke hospital kerana disyaki menghidap ketumbuhan.
Ketika saya menerima panggilan telefon itu, saya berada di Ipoh kerana program Wasiyyah Shoppe di sana. Pada keesokan harinya pula, saya sepatutnya berada di Temerloh pula kerana satu lagi program Wasiyyah Shoppe. Saya bergegas pulang ke KL dari Ipoh dan menziarah isteri saya di hospital.
Walau hati gundah gelana kerana isteri tidak sihat, saya gagahkan diri saya untuk ke Temerloh pada keesokan harinya. Isteri saya yang solehah juga redha dengan kepergian saya walaupun dia ketika itu sedang menanggung kesakitan. Di dalam hati, saya sematkan bahawa apa yang saya lakukan ini adalah semata-mata kerana Allah SWT dan semoga Dia memberi keberkatanNya kepada kami sekeluarga. Saya yakin dan percaya bahawa apa yang saya lakukan ini adalah kerja dakwah dan bila Allah SWT melorongkan saya ke jalan ini, ia bermakna Dia ada sesuatu ganjaran yang istimewa untuk saya dan keluarga saya, Insya'Allah.
Bila isteri saya terlantar di hospital, saya terpaksa memainkan tiga peranan serentak. Sebagai seorang ayah, ibu dan CEO kepada organisasi. Di rumah saya perlu memastikan segala keperluan anak dipenuhi. Di pejabat pula menanti tanggungjawab besar sebagai peneraju organisasi. Bayangkan betapa 'bersilatnya' saya kerana terpaksa memenuhi segala tanggungjawab ini namun saya redha.
Pada hari Isnin 30hb Mac 2009, isteri saya menjalani pembedahan. Saya berkampung di hospital semenjak dari pagi tetapi laptop teman setia saya tetap saya 'godek' sementara menunggu isteri saya keluar dari bilik pembedahan.
Pukul 7 petang isteri saya disorong keluar dari bilik pembedahan. Sambil menguntum senyuman yang sentiasa berjaya menawan hati saya semenjak dari zaman sekolah sehinggalah sekarang (Isteri saya ialah classmate saya semenjak tingkatan 3), dia mengangkat ibu jari tanda 'ok' menandakan segalanya berjalan dengan baik.
Namun sebaik sahaja masuk ke wad, dia pengsan dan tekanan darahnya menjunam ke paras 70 / 50. 3 orang doktor dan 5 orang nurse bertungkus-lumus cuba menyelamatkan nyawanya. Saya cemas dan berdoa agar Allah SWT melindungi isteri saya. Selama hampir 1 jam mereka berusaha keras menyelamatkan isteri saya dengan segala peralatan ecg dan entah apa lagi dipasang hampir di keseluruhan tubuhnya. Saya hanya mampu melihat, berdoa dan dalam masa yang sama tawakkal dengan ketentuan Allah. Sedih hati tidak kepalang apabila melihat tubuh isteri saya terkulai lemah. Doktor memberitahu bahawa isteri saya mengalami 'post operation shock' dan keadaannya tidak stabil.
Sepanjang malam itu, 2 kali lagi kejadian yang sama berulang. Saya tidak mampu tidur malam itu dan saya habiskan masa saya mengaji dan bermunajat memohon kepada Allah agar memanjangkan umurnya. Namun saya pasrah jika Allah mengambilnya pulang.
Berita mengenai isteri saya sampai dengan cepat kepada francaisi dan penggerak Wasiyyah Shoppe di seluruh Malaysia. Beratus-ratus SMS saya terima ucapan doa dan selamat dari mereka. Untuk segala doa dan ucapselamat, saya ucapkan jutaan terima kasih. Allah sahajalah yang membalas jasa baik kalian.
Selepas dua hari, keadaan isteri saya semakin stabil. Dia sudah boleh mula berbual dan kembali menguntumkan senyuman. Allah sahajalah yang tahu rasa kesyukuran di dalam hati. Ketika bermuhasabah, saya terfikir semula bahawa inilah sebenarnya ganjaran yang Allah SWT selepas dia memberikan saya ujian yang hebat.
Diberikannya dua pilihan sama ada saya ingin menunggu isteri di hospital atau saya pergi ke Temerloh memenuhi amanah yang telah diberikan. Saya memilih untuk meninggalkan isteri dan menjalankan amanah saya. Sebagai ganjarannya....... Allah SWT telah memanjangkan umur isteri saya agar saya boleh terus menyayanginya sepenuh jiwa raga saya juga Kerana Allah SWT.
Ya Allah, hambaMu ini kerdil dan lalai. Berikanlah aku kekuatan untuk meneruskan perjuanganku menegakkan Sunnah RasulMu. Kurniakanlah hidayahMu kepada aku yang sering terlupa ini. Aku redha atas segala ujian yang Kau berikan padaku. Sesunggunya Engkaulah yang Maha Berkuasa dan kepadaMu aku berserah, Amin amin Ya Rabbal Alamin.

Tuesday, December 23, 2008

Wasiyyah terima ANUGERAH FRANCAISOR HARAPAN TERBAIK.


Assalamualaikum WBT. Tahun 2008 sudah mulai melabuhkan tirainya. Jika diizinkan Allah SWT, kita akan melangkah pula ke tahun 2009 kurang seminggu dari sekarang. Menoleh ke belakang, saya bersyukur kepada Allah SWT kerana telah memberikan kekuatan kepada saya, adik saya Azrin, bapa saudara Sallehuddin, seluruh warga kerja Wasiyyah Shoppe, francaisi serta perunding kami untuk terus mengharungi industri ini dengan tegar.
Saya akui bukan sedikit tenaga yang telah dicurahkan dan bukan kepalang pengorbanan yang telah dilakukan bagi sampai ke tahap ini. Saya sendiri pernah dimakihamun, dicerca, difitnah malah dianiaya dan dikhianati sepanjang berjuang di dalam industri ini. Apabila menghadapi keadaan seperti ini, saya selalu bermuhasabah dan kesimpulan yang dapat saya buat ialah, apabila Allah SWT telah melorongkan saya ke jalan ini, Dia telah memilih saya untuk menjalankan satu amanah iaitu menyebarkan ilmu pewarisan harta ini secara efektif dan membantu umat Islam Malaysia merancang harta pusaka mereka mengikut kaedah Syariah. Amanah ini akan saya pegang dengan erat sehinggalah sampai waktunya saya meninggalkan dunia yang fana ini, Insya'Allah.

Cabaran dan ujian memang sentiasa mendatang tanpa henti-henti sehingga kadang-kadang hati terguris dan air mata menitis kerananya. Namun saya pasrah dan percaya Allah SWT hanya menguji hambanya dengan ujian yang boleh dilaluinya. Dia tahu saya kuat dan boleh mengatasinyan kerana itu ujian diberikan. Meminjam kata-kata hikmah seorang sahabat baik saya :

"Happy moments, praise ALLAH. Difficult moments, seek ALLAH. Quiet moments, worship ALLAH. Painful moments, trust ALLAH. Every moments, thank ALLAH."

Buktinya....

Pada 20 Disember 2008 yang lepas, Wasiyyah Shoppe telah menerima ANUGERAH FRANCAISOR HARAPAN TERBAIK MALAYSIA di Malam Anugerah Francais. Anugerah itu telah disampaikan oleh YB Dato' Noh Omar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD). Saya merasa amat terharu kerana apa yang diusahakan oleh Wasiyyah Shoppe selama ini mulai mendapat pengiktirafan dari kerajaan.

Wasiyyah Shoppe berjaya mendapatkan lesen francais dari Kementerian selepas 2 tahun saya berulang-alik ke Putrajaya meyakinkan mereka betapa apa yang Wasiyyah Shoppe lakukan berpotensi untuk dimajukan sebagai satu cabang keusahawanan yang berpotensi. Selepas bekerja keras akhirnya kami mendapat kelulusan tersebut pada 11hb Mac 2008. Sungguh tidak saya duga dengan rekod francais 8 bulan sahaja, Wasiyyah Shoppe terpilih sebagai Francaisor Harapan mengatasi francaisor lain yang mempunyai rekod francais bertahun-tahun lamanya.

Malam menerima anugerah itu, saya tidak dapat tidur sehingga pukul 3 pagi. Sujud syukur dan kesyukuran yang dipanjatkan kepada Allah SWT tidak terhingga dan pada saya Allah SWT telah membuktikan rahmah dan kasih sayangnya kepada Wasiyyah Shoppe. Tidak ketinggalan saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua warga kerja, francaisi dan perunding Wasiyyah Shoppe yang telah bersama-sama 'through thick and thin'

Apakah kesan anugerah itu kepada industri ? Kesannya amat besar dan signifikan sekali. Kini kita boleh berbangga kerana industri yang empat tahun dulu hampir tidak kedengaran kewujudannya kini telah diiktiraf oleh Kerajaan.

Apa pula kesannya kepada Wasiyyah Shoppe ? Kesannya tentu amat signifikan juga. Wasiyyah Shoppe hari ini diiktiraf sebagai ORGANISASI KEUSAHAWANAN NOMBOR SATU di Malaysia di dalam industri ini. Mungkin ada pemain lain dalam industri yang sama tetapi hanya Wasiyyah Shoppe sahaja yang diiktiraf oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD).

Sehubungan dengan itu, saya mempelawa sesiapa sahaja individu Islam di luar sana yang berhajat untuk bersama-sama kami di dalam perjuangan ini untuk menghubungi Pengurus Francais saya, En Sallehuddin di 03-6250 9573 atau 016-2624554 bagi mendapatkan maklumat bagaimana kita boleh membantu umat Islam dan dalam masa yang sama mendapat pendapatan yang lumayan darinya.

Insya'Allah bertemu lagi di ruangan yang sama pada masa akan datang.






Monday, November 10, 2008



Assalamualaikum WBT. Agak lama saya tidak memperbaharui blog ini. Bukan tak sudi tapi sangat sibuk kerana terdapat banyak perkara yang perlu diselesaikan. Tanggungjawab sebagai CEO Wasiyyah Shoppe memang berat sekali. Saya perlu melibatkan diri di dalam pelbagai diskusi intelektual mengenai hukum-hakam agama dan perkembangan undang-undang di dalam industri ini. Perbincangan dengan ilmuwan-ilmuwan, hakim dan pegawai pesaka kecil perlu sentiasa diadakan untuk mendapat maklumat mengenai perkembangan semasa . Contohnya mengenai isu 'Wasiat Wajibah' yang telah difatwakan baru-baru ini. Saya akan memperinci isu ini di dalam tulisan saya yang berikutnya nanti.




Hakikat betapa orang Islam hari ini ada pelbagai jenis harta seperti akaun simpanan, pelaburan saham dan hartanah di luar negara, bon, reit, saham syarikat dan sebagainya juga memberikan pelbagai cabaran kepada Wasiyyah Shoppe. Kami bukan sahaja perlu mahir dengan undang-undang tempatan, malah terpaksa juga mengetahui keperluan peruntukan undang-undang antarabangsa. Pelanggan sentiasa ingin tahu, bila mereka meninggal dunia, apa akan jadi kepada harta-harta ini ?




Saya juga perlu menghadiri pelbagai seminar, konvensyen dan kursus berkenaan ilmu pemasaran dan pengurusan terkini seperti Blue Ocean Strategy, Killer Marketing Strategy, Strategic Management, Marketing dan banyak lagi. Sebagai pemimpin organisasi, semua ilmu ini amat kritikal saya kuasai kerana ia akan menentukan hala tuju Wasiyyah Shoppe di masa hadapan. Saya bernasib baik kerana pernah bekerja dengan organisasi omputih ( American company ) dulu dan budaya membaca serta belajar telah sebati dengan jiwa saya. So, tidaklah tertekan sangat bila terpaksa duduk belajar dalam kelas selama 3 hari!




Dicelah-celah kesibukan itu, saya juga membantu francaisi-francaisi Wasiyyah Shoppe di seluruh Malaysia membuat aktiviti pemasaran mereka dengan menyampaikan ceramah kepada pelanggan. Sebagai organisasi francaisor berdaftar dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi ( MECD ) , saya perlu berusaha kuat untuk memastikan francaisi-francaisi Wasiyyah Shoppe berjaya dalam perniagaan ini dan menjadi 'JUTAWAN' . Kami mensasarkan untuk melahirkan JUTAWAN pertama di dalam industri ini menjelang Jun 2009 dari kalangan francaisi kami. Kenapa ? Tak percaya ? Tengok sajalah nanti.




Bagi memastikan Wasiyyah Shoppe akan terus kekal kompetitif, kami juga memenuhi sepenuhnya 'corporate governance' yang mesti dilalui oleh sesuatu organisasi. Ada orang cakap dengan saya kerana Wasiyyah Shoppe ini syarikat persendirian, tak payahlah bersusah-payah untuk mengikuti keperluan 'corporate governance' seperti pelaporan lengkap dan berkala kepada ahli lembaga pengarah. Di sinilah saya rasa ramai orang Melayu Islam tersilap.




Oleh kerana syarikat itu milik persendirian mereka, mereka boleh menguruskan syarikat itu sesuka hati mereka. Akibatnya, lama-kelamaan syarikat itupun lumpuh dan tak mampu bertahan lama. Well, saya katakan kepada mereka bahawa Wasiyyah Shoppe tidak seperti itu. Kami mempunyai ahli lembaga pengarah profesional yang berpengalaman dalam bidang korporat dan kami mematuhi sepenuhnya 'corporate governance' yang telah ditetapkan. Ini adalah antara rahsia kenapa Wasiyyah Shoppe masih bertahan sehingga hari ini walaupun industri ini mempunyai banyak cabarannya.