Wednesday, February 10, 2010

Isu pembangunan Kampung Baru

PM dah umumkan pelan pembangunan Kampung Baru KL. Maka ramailah orang yang memberi pelbagai komen mengenai cadangan pembangunan itu. Ada yang setuju dan tidak setuju ia dibangunkan. Saya juga mempunyai pengalaman berurusan dengan beberapa penduduk Kampung Baru. Sebenarnya saya menyokong penuh idea untuk pembangunan hartanah di Kampung Baru. Namun saya juga seperti kebanyakan orang merasakan pembangunan itu mestilah tidak akan merugikan pemilik asal tanah Kampung Baru. Dalam kita mengejar aruas permodenan, kita tidak boleh lupa bahawa 'pembangunan' di sini bukan bermaksud tanah itu dijual dan pemilik mendapat RM 4 juta bagi sekeping tanah seperti yang digembar-gemburkan. 'Pembangunan' di sini mestilah membawa makna tanah itu 'dinaiknilaikan' ( upgrade value ) dan pemilik masih memiliki pegangan di dalam pembangunan itu dengan nilai yang lebih dari RM 4 juta yang asal.
Ini bermakna, pemilik asal masih memiliki hak ke atas hartanah itu dan dalam masa yang sama hak itu mempunyai nilai yang lebih tinggi dari sekarang. Walaupun saya tidak terlibat di dalam isu ini, namun saya berpandangan bahawa cadangan membina bangunan kondominium, pejabat dan shopping complex mega di situ tepat tetapi pemilik asal mestilah mendapat hak ke atas pembangunan itu contohnya pemilik mungkin diberikan 1 unit kondiminium, 1 unit lot kedai dan mungkin sedikit tunai. Jadi pemilik akan untung kerana mereka masih memiliki hartanah di situ, berpeluang berniaga dan dalam masa yang sama wang tunai diterima boleh dijadikan modal.
Kita kena ingat bahawa jika pembangunan ini hanya memberi pemilik tanah asal wang sahaja, ia tidak membawa nilai yang signifikan kerana orang kita bila dapat tunai, ia boleh dihabiskan dalam masa yang cukup cepat. Jadi, berikan mereka imbuhan di dalam bentuk ini. Bagi memastikan hartanah tersebut akan terus dipegang oleh generasi yang akan datang dan tidak dijual, satu Amanah ( Trust ) boleh dibentuk. Di dalam Amanah ini dinyatakan bahawa hartanah ini tidak boleh dijual tetapi perlu diusahakan oleh waris-waris pemilik tanah dengan hasilnya dimasukkan ke dalam satu akaun amanah khas ( selepas ditolak gaji pengurus ) dan waris-waris lain boleh mendapat manafaat dari akaun itu seperti untuk tujuan pelajaran, kesihatan atau kebajikan.
Secara tidak langsung, kita akan masih ada orang Melayu yang tinggal di kondominium mewah dan berniaga di kompleks mega di tengah Kuala Lumpur. Hartanah itu juga akan kekal menjadi milik generasi berikutnya. Kesan kepada implimentasi strategi ini ialah nilai ekonomi orang Melayu akan meningkat, Kampung Baru akan dapat dibangunkan. Kerajaan gembira kerana potensi ekonomi Kampung Baru dapat dieksploit, pemilik tanah gembira kerana nilai hak mereka bertambah dan generasi akan datang juga seronok kerana mereka mempunyai hak ke atas hartanah yang paling berharga di Malaysia. Wallahualam

Friday, February 5, 2010

Orang Melayu & Politik

Orang Melayu suka berpolitik. Semenjak dari zaman kesultanan Melayu Melaka lagi orang Melayu memang cukup suka mempolitikkan pelbagai perkara. Dari sekecil-kecil benda sehinggalah sebesar-besar perkara, semuanya kalau boleh dipolitikkan. Dari organisasi parti politik sehinggalah ke apa sahaja bentuk organisasi.Sekiranya ahli atau orang yang terlibat di dalamnya orang Melayu, maka politiklah kerjanya.
Saya tidak suka berpolitik. Saya bukan ahli politik dan tidak mungkin jadi ahli politik walaupun saya mempunyai kepercayaan politik tertentu. Semenjak dari zaman universiti lagi, pelbagai pihak baik pro-aspirasi mahupun pro-mahasiswa telah berusaha bersungguh-sungguh mengajak saya menyertai politik. Namun saya rasa i'm not cut to be a politician. Kenapa ? Kerana saya tidak suka bercakap buruk mengenai orang lain. Pastinya kalau kita berpolitik, ungkapan-ungkapan seperti , " Sipolan ni sebenarnya tamak, gila kuasa dan suka menindas orang lain.Itulah sebabnya kita kena tentang Sipolan ni habis-habisan. Orang macam ini tak layak jadi ketua. Sebaliknya engkorang pilihlah aku sebab aku akan memperjuangkan nasib engkorang habis-habisan kerana aku lebih faham apa yang engkorang lalui berbanding dengan SiPolan tu!"
Walau apapun faktanya benar atau tidak, tetapi jika saya jadi ahli politik, ungkapan seperti di atas tidak mahu tidak perlu saya keluarkan untuk menarik sokongan orangramai terhadap saya. Saya tak sanggup memakan daging saudaranya sendiri. Saya lebih suka berdiamdiri walaupun difitnah dan dikutuk kerana 'SAYA BUKAN AHLI POLITIK' .
Saya tidak pergi ke sana ke mari mencari pengaruh dan mengajak orangramai menyokong saya dan melawan sesuatu pihak. Saya hanyalah seorang insan biasa yang telah Allah SWT lorongkan untuk berjuang di dalam industri perancangan dan pengurusan harta pusaka secara Syariah. Allah SWT telah memberikan saya banyak kemudahan dengan mempertemukan saya dengan ramai bijak pandai ilmuwan di dalam bidang ini dan kebanyakan mereka dengan rela hati menyokong perjuangan saya dan percaya dengan apa yang saya buat. 17,000 pelanggan yang melanggan dengan Wasiyyah Shoppe juga adalah satu amanah besar yang saya galas di bahu dan akan saya jaga amanah ini sebaik mungkin sehingga ke penghujung nyawa saya. Tugas saya bukanlah untuk berpolitik. Tugas saya yang paling besar ialah untuk membantu seberapa ramai orang Islam yang boleh untuk merancang dan mengurus harta pusaka mereka mengikut kaedah Syariah.
Apa yang berlegar di fikiran saya apabila ada pihak mencerca dan mengutuk saya ? Pada saya biarlah mereka cakap apa yang hendak mereka katakan kerana mulut orang memang tidak boleh ditutup seperti mulut tempayan. Tapi saya juga tahu bahawa apabila saya difitnah dan dicerca, pahala mereka akan saya perolehi dan dosa saya pula akan mereka tanggung. Seronok juga betul tak ?
Penulisan saya di dalam blog ini memang sengaja saya juruskan kepada kritikan sosial kepada semua orang terutamanya kepada orang Melayu beragama Islam. Ada orang yang boleh terima kritikan saya tetapi ramai juga yang tak larat nak baca. Truth's hurt. Saya hairan, orang kita lebih suka bertindak untuk memusnahkan organisasi yang dibina oleh orang Islam sendiri atas dasar hasad dengki, khianat dan sakit hati. Mereka akan bertepuk tangan dan bergembira apabila organisasi milik orang Islam musnah dan runtuh akibat api amarah dan nafsu mereka. Tapi dalam masa yang sama mereka bersungguh-sungguh menyokong organisasi milik orang bukan Islam ! Kata mereka organisasi milik orang bukan Islam lebih 'efisien', 'telus' dan 'ikhlas' (Ikhlas?). Kerana itu mereka lebih seronok bekerja dengan organisasi milik bukan Islam.
Memang benar, dalam berorganisasi tiada satupun organisasi di dunia ini yang sempurna. Tetapi kita kena melihat objektif penubuhan organisasi itu. Jika objektifnya keuntungan maka segala apa yang mereka lakukan adalah bermotifkan keuntungan. Janganlah ada orang memberitahu saya bahawa organisasi milik orang bukan Islam ini beroperasi kerana 'Lillahitaala'. Tidak akan sama orang yang bersyahadah dengan orang yang tidak bersyahadah dari aspek ini.
Jadi wahai orang Islam berbangsa Melayu, lupakanlah seketika semangat berpolitik anda dan marilah kita rapatkan saf dan bersatu. Fokuskan segenap usaha dan tenaga kita kepada amanah yang ada di hadapan kita iaitu untuk memartabatkan Muammalat dan menegakkan Sunnah Rasulullah SAW di dalam industri perancangan dan pengurusan harta pusaka secara Syariah. Kita mesti yakin dengan janji Allah kepada orang yang berjuang kearahNya. Insya'Allah kejayaan akan menanti kita.

Thursday, January 28, 2010

Adakah saya CEO yang berjaya ?

5 tahun lepas apabila kami menubuhkan Wasiyyah Shoppe, kami sudah nampak orang bagaimana yang akan bekerja kuat mendokong industri ini. Ramai orang telah datang dan pergi. Pelbagai golongan ; financial planners, profesional seperti akauntan, jurutera, doktor pun ada malah golongan ustaz juga pernah terlibat bersama Wasiyyah Shoppe.
Ada yang telah berjaya memperoleh pendapatan 5 angka hasil kerja kuat di Wasiyyah Shoppe tapi ramai juga yang cuma dapat ilmu sahaja tapi gagal diimplimentasi dengan baik ! Kadang-kadang kita sering terlupa 'where it all begins'. Saya sering mengingatkan francaisi dan perunding Wasiyyah Shoppe bahawa 'the real purpose' kenapa Wasiyyah Shoppe wujud hari ini ialah kerana kita mahu mendaulatkan Muammalat, menegakkan Sunnah Rasulullah SAW dan membantu seberapa ramai orang Islam yang boleh merancang harta pusaka mereka mengikut Kaedah Syariah.
Yes this is a business tapi business ini yang sebenarnya ialah Kerana Allah SWT. Ramai yang mengutuk, menghina, mengkeji malah memfitnah saya kerana kata mereka saya ini langsung tiada ketokohan CEO perniagaan kerana saya tidak tertarik sangat untuk menjadi kaya, punya wang berjuta dan membawa kereta mewah. Mungkin bagi mereka, CEO yang berjaya ialah orang yang berjaket, berkereta mewah yang ada driver, 'stylo' dengan aksesori mewah, 'clubbing' , makan makanan western di restoran berjenama, lepak di Bangsar atau Hartamas.
Well jika itulah definisi mereka terhadap CEO yang berjaya, mereka akan kecewa. Mungkin CEO syarikat lain dari industri yang sama berciri demikian tetapi tidak saya. Saya telah amat-amat bersyukur dengan segala yang Allah SWT telah kurniakan kepada saya setakat ini. Sebuah kereta walaupun bukan mewah tetapi amat selesa untuk membawa saya dan keluarga ke mana-mana. Sebuah rumah walaupun bukan banglo berharga jutaan ringgit tetapi memberikan saya sakinah yang saya cari-cari dan yang paling penting keluarga yang bahagia dan kesihatan yang baik. Tentang makan , saya hanya suka makan di warung mamak sahaja. Waktu lapang pula saya lebih suka habiskan dengan membaca. Pakaian saya juga hanyalah pakaian biasa yang tidak berjenama dibuat oleh tailor regular saya semenjak 15 tahun yang lepas !
Adakah saya seorang yang berjaya ? Jika ukuran kejayaan itu ialah materialistik, maka saya belum berjaya lagi. Tapi jika tafsiran kejayaan itu ialah tentang berapa ramai orang Islam yang telah Wasiyyah Shoppe bantu di dalam industri ini, saya rasa saya antara orang paling berjaya berjalan di atas muka bumi ini. Bayangkan pada 2004 dulu, orang langsung tidak peduli dengan industri ini tapi hari ini, bank dan syarikat milik orang bukan Islam pun berebut-rebut nak menjalankan perniagaan ini kerana apa ? Kerana mereka melihat Wasiyyah Shoppe mampu bertahan sebegini jauh. Adakah saya seorang yang berjaya ? YA . SAYA SEORANG YANG SANGAT BERJAYA kerana sumbangan saya kepada industri dan masyarakat. Walau apapun yang orang kata tentang saya, mereka tidak boleh menolak hakikat bahawa sumbangan Wasiyyah Shoppe kepada masyarakat di bawah kepimpinan saya adalah SANGAT SIGNIFIKAN !
Pelbagai pengalaman pahit manis mengharungi perniagaan ini telah mengajar saya bahawa Allah SWT akan sentiasa membantu hambaNya yang mempunyai nawaitu yang tepat. Jadi rezeki saya serahkan kepadaNya untuk ditentukan. Di dalam hati, saya telah sematkan dengan satu pendirian yang cukup kuat seampuh pohon ara yang akarnya mencengkam ratusan kaki ke dalam bumi iaitu apabila Allah SWT telah melorogkan saya ke dalam bidang ini, TUGAS SAYA IALAH UNTUK BERDAKWAH DAN MENYAMPAIKAN MESEJ KEPENTINGAN PERANCANGAN HARTA PUSAKA SECARA SYARIAH KEPADA SEBERAPA RAMAI ORANG ISLAM YANG BOLEH DAN NAWAITU SAYA HANYALAH KERANA ALLAH SWT. Jika seruan saya disambut, itu adalah rezeki yang Allah SWT telah tentukan untuk saya. Jika seruan saya tidak disambut, saya akan pasrah dan redha kerana itu ujian Allah SWT berikan kepada saya sebagai bukti kasihNya terhadap saya.
Tetapi adakah saya akan mengeluh dan berputus-asa jika saya ditolak ? Tidak sekali-kali kerana saya telahpun sematkan dalam hati, saya hanya mahu mati di atas perjuangan ini. Marilah sama-sama kita betulkan nawaitu dan iktiqad kita. Marilah berjuang bersama-sama Wasiyyah Shoppe bukan kerana wang tetapi kerana Allah SWT. Kita mesti yakin dengan sepenuhnya pada Janji Allah untuk orang yang berjuang di landasanNya...iaitu KEJAYAAN HAKIKI akan menjadi milik kita, Insya'Allah.

Sunday, January 24, 2010

Orang Islam Kurang Cerdik Atau Terlebih Cerdik ?

Ramai rakan yang minta pandangan saya mengenai isu penggunaan kalimah Allah oleh Herald Catholic. Saya bukan orang politik malah semenjak dari kampus lagi saya tahu saya memang tiada bakat untuk jadi orang politik kerana sikap saya yang tak suka berpolemik. Namun begitu dalam isu ini saya nak bawa pandangan orang Islam kepada satu perspektif yang mungkin ramai di antara kita tidak perasan. Setiap hari di dalam akhbar kita melihat pelbagai lapisan masyarakat dan pemimpin masyarakat dari parti pemerintah mahupun parti pembangkang memberikan pandangan masing-masing yang pelbagi. Sebagai sebuah negara demokrasi, pada saya kepelbagaian pendapat ini adalah satu keunikan yang mesti diraikan. Namun dalam keghairahan orang Islam memberikan pendapat menyokong dan membantah, saya perhatikan ada satu situasi unik sedang berlaku yang kita orang Islam di Malaysia kurang memerhatikan.
Pihak yang bertanggungjawab menimbulkan isu ini tidak memberikan sebarang komen ! Mereka hanya berdiam diri sahaja. Mungkin mereka tidak mahu mengeruhkan suasana dan jika itu strategi mereka, saya menyokong sepenuhnya kerana tiada guna kita ingin menyimbah lagi petrol di atas api yang sedang membara !
Namun apa yang paling jelas dalam insiden ini ialah ia menunjukkan kepada semua orang di Malaysia ( bukan Islam atau Islam ) dan di dunia bahawa orang Islam sendiri BERPECAH-BELAH dan tidak bersatu-padu. Jadi dalam kita menang sorak ( kerana pandangan kita sering bertelagah dipaparkan di dada-dada akhbar ) , kampung kita sedang tergadai !
Pemimpin parti politik sesama Islam sendiri saling kutuk-mengutuk sesama sendiri sedangkan kita lihat SANGAT JARANG pemimpin parti politik orang bukan Islam mengutuk satu sama lain. Pernah seorang pemimpin parti politik berkata kepada saya bahawa mustahil parti politiknya ( yang 100% ahlinya orang Islam ) akan bergabung dengan parti politik yang satu lagi ( yang 100% juga ahlinya orang Islam ) kerana pernah dikhianati satu ketika dahulu. Ironinya mereka boleh pula bekerjasama dengan parti politik bukan Islam yang terang-terangan menentang Islam !
Saya nyatakan sekali lagi bahawa saya bukan orang politik namun akal waras saya mengatakan bahawa takkanlah orang sesama Islam yang Syahadahnya sama dan menghadap kiblat yang sama itu lebih buruk dari orang-orang kafir yang memang terang-terangan dijanjikan Allah SWT sebagai penghuni neraka? Ketahuilah bahawa perkara yang paling ditakuti oleh musuh Islam ialah apabila orang Islam tidak kira apa parti dan ideologi mereka BERSATU !
Bila kita berpecah-belah, inilah akibatnya. Agama kita dipermainkan dan ekonomi kita dijajah.Malangnya di dalam sejarah orang Melayu, sentiasa ada watak Si Kitul yang sentiasa bersedia menjual maruah dan harga dirinya kerana wang. Di dalam Sejarah Islam juga, sentiasa ada watak Muawiyah yang sanggup berbuat apa sahaja kerana kuasa. Marilah sama-sama kita renungkan, adakah orang Islam kurang cerdik atau terlebih cerdik ?

Friday, January 22, 2010

Buat kerja ini tak boleh cari makan ?

Dalam perjuangan sentiasa ada cabaran. Kadang-kadang kita lupa bermuhasabah bahawa ujian yang datang itu sebenarnya ialah bukti kasih sayang Allah SWT kepada kita. Hari-hari kita mengeluh bahawa apa yang kita buat ini susah nak cari makan. Industri perancangan dan pengurusan harta pusaka secara Syariah sememangnya bukan satu industri yang mudah atau cepat kaya jika kita membuatnya. Ia satu industri yang penuh dengan cabaran kerana kita perlu mendidik masyarakat dengan sabar, tabah, istiqamah untuk mendapat hasilnya. Saya sendiri selalu difitnah, dicerca, dimakihamun malah diperkecilkan kerana membuat kerja ini. Arwah bapa saya sendiri pernah tidak yakin dengan usaha saya kerana dia tidak percaya seorang yang dilatih dalam pemasaran dan berpengalaman bekerja di bank seperti saya boleh membuat kerja yang lebih mirip kerja seorang peguam!
Namun saya tidak pernah patah semangat kerana walaupun industri ini ketika itu hampir tidak wujud, saya sangat percaya dengan strategi yang betul, industri ini boleh memberikan manafaat yang maksima kepada pengusaha dan masyarakat Islam sendiri. Itu sebabnya saya tidak pernah biarkan kata-kata negatif melekat dalam kepala saya. Kalau orang kata bisnes ni susah nak buat, saya katakan ia sebenarnya sangat senang dibuat.
Buktinya? Semalam saya baru mengutip cek berjumlah RM 70,000 dari seorang pelanggan yang bersetuju untuk membuat dokumennya melalui Wasiyyah Shoppe. Bayangkan , untuk menyediakan dokumen sahaja, dia bersetuju untuk membayar saya sejumlah wang yang begitu banyak. Dia tak bertanya panjang untuk membayar kerana katanya ini kali pertama dia diberikan penjelasan yang begitu terperinci dan profesional tentang isu harta pusaka. Jadi tak bolehkah kita membuat bisnes ini ? Tepuk dada, tanya akal sendiri.Jangan tanya hati kerana hati akan mengikut nafsu!
Bukan sedikit orang yang membuat bisnes ini telah 'syahid'. Ramai juga yang mengaku kalah dan 'surrender'. Kenapa jadi begini sedangkan fincancial planner bukan Islam berebut-rebut nak menjalankan bisnes ini yang membuktikan bahawa bisnes ini memang berpotensi besar. Sebagai peneraju Wasiyyah Shoppe yang telah melalui pelbagai pengalaman pahit manis dalam perjuangan ini, saya katakan bahawa mereka gagal kerana :
1. Sikap nak cepat kaya. Orang Melayu memang terkenal dengan sifat tamak haloba dan nak cepat kaya. Kita tidak mahu bersusah-payah sebaliknya nak kaya dengan senang dan kalau boleh nak goyang kaki sahaja. Itu sebabnya orang Melayu yang ramai tertipu dengan pelbagai skim cepat kaya hari ini. Orang yang syahid di dalam bisnes ini juga orang yang nak cepat kaya. Bila mereka dapati susah nak kaya buat bisnes ini, mereka give-up dan mereka berikan pelbagai alasan untuk kegagalan mereka seperti orang tak nak beli produk kita, susah, syarikat tak bagus, hari hujan, gempa bumi, banjir dsb. Tipical attitude of Malays!
2.Tidak mahu belajar dari orang yang lebih berpengalaman. Mereka yang syahid dalam bisnes ini sering berfikir bahawa mereka lebih tahu dan lebih pandai. They think they know better ! Saya yang berpengalaman hampir 12 tahun dalam bisnes ini juga tidak pernah mempunyai pemikiran begitu kerana sifat ilmu dalam bisnes ini, lagi banyak yang kita belajar, lagi banyak ilmu yang kita sebenarnya tidak tahu. Tapi ramai orang yang berfikir untuk 'reinvent the wheel". Mereka nak mengubah pendekatan, produk dan sebagainya. Mereka tidak mahu belajar dari orang yang lebih berpengalaman kerana merasakan mereka lebih pandai. Kerana orang Melayu hari ini terlalu moden, berfikiran terbuka, advance dan 'educated' , kita terlupa pepatah orang tua,"Ikutlah rasmi padi, makin berisi makin tunduk". Kalau ada yang terlupa marilah saya terangkan maknanya. Orang yang berkualiti ialah orang yang semakin banyak ilmunya, semakin merendah diri dan tawadhuk dirinya.
3.Tidak bersyukur. Mereka yang syahid dalam bisnes ini juga tidak bersyukur kerana dilorongkan Allah SWT untuk menceburi bidang ini. Kita tidak nampak betapa besarnya nikmat yang Allah SWT berikan kepada kita kerana diberi peluang untuk bekerja dalam bidang ini.Kita menegakkan Sunnah Rasulullah SAW bila mengalakkan orang ramai membuat wasiat, hibah, wakaf dan sebagainya. Berapa ramai orang di luar sana yang mendapat peluang ini ?
4.Tiada maruah dan harga diri. Mereka yang syahid dalam bisnes ini juga tiada maruah dan harga diri kerana mereka merasakan kerja mereka tidak membawa sebarang makna jika merekaa tidak mendapat wang yang banyak. Hanya bila mereka mendapat wang yang banyak , mereka merasakan mereka telah berjaya. Untuk wang mereka sanggup membuat apa sahaja. They don't take pride in what they're doing!
KESIMPULANNYA : Hanya orang yang benar-benar jujur, ikhlas, amanah dan mempunyai nawaitu sahaja yang akan kekal membuat kerja di dalam bisnes ini. Saya pernah bertemu dengan pelbagai jenis orang Melayu yang datang ke Wasiyyah Shoppe ingin menjalankan bisnes ini dan bercakap 'berdegar-degar' bahawa mereka yang terbaik, profesional dan cukup berkualiti serta ikhlas untuk berjuang dengan Wasiyyah Shoppe. Tetapi hakikatnya, mereka hanya ibarat tong kosong yang kuat berbunyi ! Tetapi pada saya, this is part and parcel of life. Kehidupan tetap perlu diteruskan dan saya redha dengan segala yang Allah SWT berikan kepada saya kerana nawaitu saya hanyalah Lillahitaala dan saya hanya mahu mati di dalam perjuangan ini. Sama ada saya akan menjadi jutawan atau tidak, itu urusan Allah SWT. Apa yang saya tahu saya akan terus-terusan berjuang di dalam bidang ini tanpa ada sekelumitpun perasaan was-was, sangsi, letih, berputus-asa, takut atau second doubt. Allah SWT mengetahui apa yang ada di dalam hati saya dan biarlah Dia sahaja yang menentukan segala-galanya, Amin.

Monday, January 18, 2010

Tiada Peluang Untuk Kaya?

Ramai orang yang berkata kepada saya, kalau buat kerja dalam bidang ini tak mungkin kita boleh jadi kaya. Tidak sedikit orang yang saya temui di dalam bidang ini telah berputus-asa, give-up, kecewa dan terasa seperti susah sangat nak kaya! Malah ada seorang hamba Allah yang saya temui berkata, jual air tepi jalan lebih lumayan pendapatannya dari bidang ini.
Mungkin juga benar apa yang dikatakannya. Kenapa ? Kerana dalam fikirannya sendiri telah menyatakan dengan 'affirmative' bahawa kerjaya di dalam bidang ini 'TIDAK AKAN MEMBUATKAN DIA KAYA'. Saya memang 100% yakin bahawa orang ini memang tidak akan kaya dengan membuat kerja di dalam bidang ini kerana keyakinannya sendiri telah menyatakan dia tidak akan kaya. Saya juga yakin dia akan berjaya menjadi kaya dengan menjual air di tepi jalan kerana likewise keyakinannya sendiri telah menyatakan dia akan kaya melalui perniagaan itu!
Kita selalu terlupa...kerana memang sifat manusia itu pelupa. Allah SWT yang mencipta kita sendiri yang mengakui sifat pelupa manusia ini. Kita lupa bahawa rezeki itu bukan kita yang tentukan. Kita sebagai manusia hanya perlu berusaha, doa dan tawakkal.
Sahabat Rasulullah SAW tidak mengejar kekayaan semasa mereka berjuang untuk Islam. Tetapi Allah SWT telah memberikan kekayaan kepada mereka! Bagaimana ? Janji syurga itu sendiri adalah satu kekayaan. Iman mereka adalah satu kekayaan dan keterujaan mendapat keberkatan dari Allah SWt itu juga adalah satu kekayaan.
Sebagai peneraju Wasiyyah Shoppe , saya sangat yakin dan optimis tanpa sekelumitpun rasa was-was bahawa industri ini mampu menjadikan ramai orang kaya. Janji Allah pada para syuhadahnya, kejayaan akan sentiasa menunggu orang-orang yang berjuang ke arahNya. Itu kita mesti yakin sepenuhnya. Walaupun kadang-kadang pelbagai ujian dan dugaan datang melanda dengan hebat sehingga ada waktunya kesabaran tercabar, tapi saya tetap yakin dengan sepenuhnya bahawa Allah SWT akan memberikan kekayaan kepada saya kerana di dalam hati, saya berjuang dengan ikhlas, jujur dan amanah.
Jika 5 tahun dulu di dalam industri ini , tiada seorangpun manusia yang berani mengatakan ada orang yang akan sanggup membayar puluhan ribu ringgit untuk perkhidmatan menyediakan dokumen perancangan harta secara Syariah, menjadi satu kebiasaan kepada Wasiyyah Shoppe untuk pelanggan membayar kami RM 20,000 malah RM 60,000 sekalipun untuk menyediakan dokumen ! Bukankah janji Allah SWT itu sentiasa benar? Tepuk dada tanya iman...

Monday, January 11, 2010

Kenapa Allah SWT menurunkan ujian kepada kita

Dalam kehidupan seharian, kita dihadapkan dengan pelbagai ujian dan dugaan. Kadang kita menerima ujian yang datang dengan hati yang lapang tetapi banyak waktu lain kita menerimanya dengan keluh kesah. Kenapa agaknya hati kita begitu.
Ada banyak sebab tapi saya hanya nak ulas tentang 1 faktor sahaja. Faktornya ialah kerana kita tidak bersyukur kepadaNya. Kita hanya terfikir bahawa kita dikategorikan berjaya jika kita mempunyai wang yang banyak, kereta mewah yang menjalar, rumah banglo, saham dan sebagainya. Kita tak pernah fikir bahawa rezeki yang Allah SWT turunkan datang dalam pelbagai bentuk.
Bagi orang yang melibatkan diri dengan Wasiyyah Shoppe, saya selalu ingatkan bahawa apabila kita membuat kerja ini, itu adalah satu rezeki. Allah SWT beri kita peluang untuk berjuang menegakkan Sunnah Rasulullah SAW di dalam industri ini. Ramai orang Islam lain tidak mendapat peluang seperti ini.
Apabila kita berjaya membantu waris-waris menyelesaikan proses harta pusaka dengan mudah, cepat dan tanpa sebarang kos kepada mereka, Itu adalah satu rezeki kerana kita mendapat pahala dari kegiatan itu.
Apabila kita berpeluang untuk belajar mengenai selok-belok pewarisan harta mengikut kaedah Syariah, itu adalah satu rezeki kerana kita berpeluang menyebarkan semula ilmu itu kepada ummah.
Apabila kita dipanjuangkan umur olehNya supaya kita boleh terus berbakti kepada ummah, itu adalah satu rezeki kerana Allah SWT memberi kita peluang sebanyak-banyaknya untuk mendapat pahala.
Tetapi hari ini orang Islam sendiri tidak tahu apa yang membawa nilai ( value ) kepada mereka. Mereka sanggup menjual 'roh' dan 'nyawa' mereka sendiri kerana wang kerana pada mereka kejayaan itu bersifat materialistik . Tidak mengapa jika umat Islam musnah asalkan dia kaya. Tidak mengapa jika meruntuhkan institusi Islam itu asalkan dia mewah. Mereka terlalu taksub dengan duniawi.
Sebab itulah orang Islam hari ini sangat lemah selemah lalang yang ditiup angin. Sebab itulah orang Islam hari ini diperlekehkan.
Di Wasiyyah Shoppe, orang Islam sebegini tiada tempat. Wasiyyah Shoppe adalah tempat bagi orang Islam yang ikhlas berjuang semata-mata kerana Allah SWT. Jika kita benar-benar ikhlas, kita mesti yakin dan percaya janji Allah bahawa kemenangan akan sentiasa menunggu kita. Perjuangan memang bukan perkara yang mudah dan hanya orang yang benar-benar kuat, tegar, ikhlas, fokus dan yang paling penting MEMPUNYAI NAWAITU YANG BETUL sahaja akan berjaya di dalam perjuangan ini.
Ya Allah, aku redha dengan segala dugaan yang Engkau berikan. Kuatkanlah imanku, tetapkanlah hatiku dan matikanlah aku hanya di atas landasan ini. Amin amin ya Rabbal alamin.